Subjek Sejarah Kembali ke Sekolah Rendah pada 2011


Pengajaran mata pelajaran Sejarah kepada murid tahun 1 dan 2 di semua sekolah rendah termasuk jenis kebangsaan dijangka bermula sepenuhnya pada 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ketika ini projek perintis mengenainya sedang dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 500 buah sekolah.

Menurutnya, pengajaran Sejarah tidak dilakukan seperti mata pelajaran lain, sebaliknya menerusi kaedah interaksi yang menyeronokkan murid-murid seperti koir dan perbahasan.

"Jika projek ini berjalan dengan baik, maka kita mungkin melaksanakan sepenuhnya pengajaran itu pada 2012," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Slogan 'UMNO Perjuangan' sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 UMNO anjuran UMNO Bahagian Batu Pahat di sini hari ini.

Mohd. Puad berkata, transformasi kurikulum itu akan membabitkan latihan kepada guru-guru agar mereka memahami kaedah mengajar mata pelajaran tersebut.

"Ini juga untuk memastikan pengajaran mereka memberikan kesan mendalam kepada murid-murid," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan membenarkan guru-guru siswazah bergerak aktif dalam politik.

Menurutnya, kajian itu turut membabitkan kumpulan penting seperti pengetua, guru besar atau pentadbir di peringkat Jabatan Pelajaran.

"Kita kena melihat perkara ini lebih terperinci agar tidak timbul masalah kerana dikhuatiri ada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya mungkin membenarkan mereka bergerak aktif tetapi tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti.

"Mereka mesti terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dan penglibatan mereka dalam parti pula perlu sentiasa dipantau," katanya.

Bagaimana Nak Imbangi Nisbah Guru Lelaki:Wanita


KLANG 26 Mei - Kekurangan guru lelaki adalah antara cabaran paling besar dihadapi Kementerian Pelajaran dan kementerian kini dalam usaha untuk mengimbangkan jurang itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pada masa ini hampir tiga perempat daripada setiap pengambilan tahunan guru-guru baru terdiri daripada wanita.

"Kebanyakan guru yang mengajar di pedalaman ialah guru lelaki. Jadi sebab itulah kita cuba imbangkan sedikit untuk dapatkan lebih ramai guru lelaki bagi memudahkan kita menghantar guru mengajar di pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini, malam tadi.

Mohd. Puad turut mencadangkan supaya guru menandatangani akujanji bersetuju untuk mengajar di luar bandar dengan tempoh perkhidmatan mereka dinyatakan dengan jelas, umpamanya tiga tahun.

Beliau berkata, akujanji seumpama itu perlu bagi mengelakkan guru yang dihantar bertugas di luar bandar, memohon ditukarkan hanya selepas enam bulan mereka di sana.

Mohd. Puad berkata, selain itu ia juga bagi memastikan seseorang guru itu tidak berkhidmat terlalu lama di kawasan pedalaman.

"Saya sendiri menyaksikan kepayahan guru di pedalaman antaranya seorang guru wanita terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan gelombang telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan suaminya.

"Ada juga kes seorang guru wanita dari sebuah sekolah di Marudi, Sarawak bersalin dalam bot ketika dalam perjalanan ke hospital kerana jarak antara sekolah dan hospital jauh," katanya. - BERNAMA

Adakah Sikap Guru perlu di tegur?


MARAN 24 Mei - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegur sikap segelintir guru yang menanamkan ideologi politik di kalangan pelajar di sekolah.

Tegas beliau, tindakan seumpama itu akan menimbulkan suasana tidak harmoni di sekolah.

Menurutnya, sebagai guru mereka sepatutnya mendokong aspirasi negara sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

''Pendidik perlu menjayakan semua aktiviti dan program di sekolah atas nama kepentingan pendidikan dan bukan atas kepentingan politik atau peribadi," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan Hari Guru peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran di sini semalam.

Pada majlis itu, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Abdullah Abdul Kadir dipilih sebagai Tokoh Guru Pahang 2009.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dan Pegawai Pelajaran Daerah, Rosdi Ismail.

Adnan berkata, guru bertanggungjawab membangunkan minda pelajar sejajar dengan ajaran agama, norma-norma masyarakat dan prinsip Rukun Negara.

''Guru tidak wajar membiarkan pelajar berkembang atas kebebasan sendiri atau mengikut perubahan zaman tanpa mengambil kira cabaran dan keperluan masa depan mereka," katanya

Dalam pada itu, beliau mahu guru menumpukan usaha memperkasa bahasa kebangsaan yang menjadi asas perpaduan kaum di negara ini.

''Ia selaras dengan konsep Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.

Beliau juga mahu guru menumpukan perhatian kepada masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing pada masa ini.

''Kejayaan seseorang guru juga diukur berdasarkan kemampuan mereka menangani masalah disiplin pelajar," katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi menganjurkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang dirancang diadakan di Pahang tahun depan.

Beliau berharap sambutan itu dapat diadakan dengan lebih meriah kerana ia dijangka dirasmikan Perdana Menteri.

Sekolah Pertama Perkenal Komputer e-book

KUALA TERENGGANU 27 Mei - Langkah Terengganu memperkenalkan penggunaan buku elektronik atau e-Book di kalangan murid sekolah rendah adalah bagi mencorakkan bidang pendidikan di negeri itu mengikut arus perubahan dunia.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penggunaan e-Book akan mengubah landskap pendidikan di Terengganu dengan memberi lonjakan hebat terhadap penguasaan teknologi maklumat (IT) di peringkat awal persekolahan lagi.

Ini kerana jelasnya, definisi negara maju seperti yang digariskan oleh Kesatuan Eropah (EU) kini telah berubah iaitu bukan berdasarkan keluasan dan hasil bumi, sebaliknya mempunyai masyarakat yang inovatif, kreatif serta bermaklumat melalui penguasaan dalam IT.

''Hal ini jelas kelihatan pada dunia hari ini yang mana tiada aspek kehidupan yang tidak terlibat dengan teknologi ini.

''Memandangkan perkembangan yang sudah pasti menjadi pemangkin kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang, Terengganu memutuskan untuk memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dengan mencorakkannya mengikut arus perubahan dunia melalui penggunaan e-Book,'' ujarnya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran e-Book di Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.

Menurut Ahmad, kerajaan negeri yakin prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut membangun minda serta sahsiahnya.

Sebagai langkah pertama jelasnya, sebanyak 25,000 e-Book yang dilengkapi perisian buku-buku teks serta al-Quran, doa dan amalan solat akan diagihkan secara percuma kepada murid tahun lima bermula semalam.

Katanya, ia akan diikuti agihan kepada murid tahun empat, tiga, dua dan satu selepas ini.

''Kerajaan Terengganu akan membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun untuk menyediakan e-Book kepada semua murid sekolah rendah.

''Walaupun kosnya tinggi, kita melihat program ini sebagai satu pelaburan jangka panjang yang hasilnya nanti akan melahirkan anak-anak Terengganu yang celik komputer seawal bangku sekolah," ujarnya.

Selepas e-Book jelasnya, kerajaan Terengganu akan membangunkan komputer riba sendiri untuk diagihkan kepada pelajar sekolah menengah pula di kilang yang didirikan di Gong Badak dengan kerjasama Intel.

KELAS SBT MASA CUTI SEKOLAH

Kelas SBT (Skim Bantuan Tuisyen) akan diadakan sepanjang minggu pertama pada cuti pertengahan penggal pertama (Sabtu 1hb. Jun - Sabtu 6hb. Jun) Masa : 7.40 pg. - 12.30 tgh. Kehadiran bagi murid-murid SBT adalah WAJIB. Kepada semua ibubapa/penjaga murid diminta untuk memastikan anak-anak/anak jagaan tuan/puan hadir pada hari-hari dan masa yang telah ditetapkan. Kerjasama daripada tuan/puan amat kami harapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih.