Team Road Run & Team Bola Jaring Sama Hebat

Rabu, 31 Mac 2010 - Tahniah kepada team Road Run dan team Bola Jaring yang telah mengharumkan kokurikulum SKSU di peringkat MSSD, Sabak Bernam. Sepanjang minggu lepas, kedua-dua pasukan ini berhempas pulas untuk menggondol kemenangan.

Alhamdulillah, dengan hasil usaha yang gigih, pasukan Road Run telah mendapat Juara Keseluruhan Peringkat Daerah. Kegembiraan berganda apabila pasukan Bola Jaring pula tidak kurang hebat dengan keputusan Naib Johan menentang SK Seri Makmur.

Dikhabarkan, beberapa orang pemain Bola Jaring SKSU telah terpilih bagi mewakili pasukan daerah Sabak Bernam ke peringkat negeri. Teruskan persediaan mental dan fizikal. Kekalkan rentak skill anda. SKSU hebat!~

Mesyurat Agung PIBG Kali Ke-31

Isnin, 29 Mac 2010 - Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-31 SK Seri Utama telah diadakan pada hari Sabtu, 27 Mac 2010, bertempat di Dewan Lestari SKSU. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Abdul Rahman Bin Bakri, Ahli Parlimen Sabak Bernam. Terima kasih kepada YB Datuk kerana sudi hadir.

Mesyuarat julung-julung kali ini diadakan bertujuan
memilih 'orang baru' bagi menduduki 'kerusi' AJK PIBG 2010. Kepada yang terpilih, tahniah dan selamat bekerjasama dengan pihak pengurusan sekolah.

Alhamdulillah, secara total, sambutan daripada pihak ibu bapa/penjaga tidak mengecewakan. Apa yang menarik pada mesyuarat kali ini ialah usul-usul yang dibentangkan mendapat respon positif dikalangan mereka. Teruskan sokongan dan komitmen kolektif bagi memajukan SKSU sekaligus demi kebaikan semua.

Pada hari tersebut juga, pameran Unit Program Sekolah Lestari turut diselitkan sebagai langkah mempromosikan penjenamaan ke arah sekolah lestari~

Tahniah Komanden Baru SKSU

Isnin, 29 Mac 2010 - Majlis Pertauliahan Pangkat Kadet Remaja Sekolah (KRS) bagi daerah Sabak Bernam telah pun berlangsung di Dewan SMK Ungku Aziz pada hari Jumaat, 25 Mac 2010.

Tahniah dan syabas kepada Guru Besar Cemerlang SKSU di atas pertauliahan pangkat baru sebagai Komanden KRS Ishak Bin Md. Noor.
Semoga dengan pentauliahan tersebut, pihak sekolah dapat memanfaatkan skill dan ilmu TKRS untuk menggerakkan aktiviti kokurikulum. Malah memberi kepuasan kepada anak-anak didik SKSU. Tabik hormat buat komanden!~

Bola Jaring Peringkat MSSD, Sabak Bernam

Rabu, 24 Mac 2010 - Pagi ini pula, pasukan Bola Jaring SKSU bersiap sedia untuk turun bertempur dalam Kejohanan Bola Jaring Peringkat MSSD, Sabak Bernam di SK Simpang 4, BNO.

Harapnya puteri-puteri SKSU yang tinggi dan comel-comel ini akan sentiasa mantap di gelanggang. Skill-skill cikgu Salasiah, cikgu Anona dan cikgu Suhartini jangan dilupa. Yang penting, buat jaringan sebanyak yang boleh. Selamat berjuang~

Tambahan:
Kepada guru-guru pengiring, tolong maklumkan keputusan rasmi di meja Cik Hafizzah. Kalau ada gambar semasa perlawanan lagi bagus. Terima kasih.

Merentas Desa Peringkat MSSD, Sabak Bernam

Selasa, 23 Mac 2010 - Pagi ini, guru-guru pengiring SKSU telah menghantar pasukan atlit sekolah ke Kejohanan Merentas Desa Peringkat MSSD Sabak Bernam di SMKA Simpang 5, Sungai Besar. Mereka dipilih berdasarkan pencapaian dalam kejohanan peringkat sekolah yang lalu.

Kepada pasukan SKSU, berlari jangan berlenggang. Hayun kaki biar tenang. Harapnya kamu semua menang. InsyaAllah, pulang nanti boleh cikgu canang. Bak kata cikgu Harun Saib, "Kokurikulum SKSU Mahu Yang Terbaik". Selamat maju jaya. Thumbs up to all of you!~

Permohonan Kemasukan Ke Tahun Satu Bagi Sesi 2011 & 2012

Selasa, 23 Mac 2010 - SK Seri Utama mengalu-alukan permohonan ibu bapa/penjaga untuk membuat pendaftaran anak-anak jagaan tuan/ puan bagi kemasukan murid Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2011 dan 2012.

Permohonan bagi kelahiran pada 2 Januari 2004 hingga 1 Januari 2005 adalah untuk sesi persekolahan 2011. Sementara kelahiran pada 2 Januari 2005 hingga 1 Januari 2006 pula adalah untuk sesi persekolahan 2012. Urusan permohonan ini sudah boleh dibuat seperti butiran berikut:

Tarikh : 1 Mac- 30 April 2010
Hari : Isnin - Jumaat (Hari bekerja sahaja)
Waktu : 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Pejabat SK Seri Utama

Ibu bapa/penjaga juga boleh membuat pendaftaran melalui aplikasi dalam talian secara online dengan melayari laman sesawang (web) Jabatan Pelajaran Selangor di alamat http://www.moe.gov.my/jpnselangor.

Diingatkan di sini, penyediaan segala salinan dokumen yang disahkan bersama senarai semak lain hendaklah dibawa bersama ketika pendaftaran. Sila klik pada image untuk mendapatkan paparan maklumat yang lebih jelas. Sekian dimaklumkan~

Pesta Buku Antarabangsa KL (KLIBF) 2010

Khamis, 18 Mac 2010 - Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 (KLIBF) kembali lagi. Seperti tahun-tahun sudah, KLIBF masih kekal bertempat di ruang legar PWTC, KL. Pesta ini akan berlangsung pada 19 - 28 Mac 2010 mulai 10.00 pagi - 10.00 malam.

Nampaknya KLIBF tahun ini diawalkan sebulan berbanding tahun lalu pada pertengahan April. Dengar cerita, tapak gerai jualan dan pameran juga akan dilebarkan hingga ke seberang sungai.

Warga SKSU dan pengunjung laman blog ini, tidak kira pembaca tegar atau sebaliknya turut dialu-alukan bagi memeriahkan lagi KLIBF 2010. Jika tahun lalu anda terlepas peluang untuk hadir, harapnya tahun ini tidak melepas lagi. Pada yang baru berjinak-jinak, janganlah segan silu untuk bertandang ke tapak pesta tersebut. "Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya."~


Tambahan:
InsyaAllah, penulis akan turun 'bersesak nafas' sambil mengintai booth pilihan hati seperti PTS, Geleri Ilmu dan Pelima Media. Jom risik-risik dan sambar 'buah tangan' KLIBF bersama tandatangan penulis baru mahupun lama. Jumpa di sana!

Operasi Mural Lestari SKSU

Rabu, 17 Mac 2010 - "Rajin cikgu rajin, rajin la mengecat, buat biar cermat, boleh tunjuk bakat." Cuti-cuti sekolah ini, masih ada yang ligat bersama berus dan cat. Lensa Puan Puziah aka teacher Z sempat menerjah operasi lestari ini. Tepuk tangan untuk team mural sekolah yang bertukus-lumus.

Hari ini adalah hari ketiga kerja-kerja seni mural SKSU beroperasi. Semoga mereka sukses menghasilkan sentuhan-sentuhan ceria bermesej. Pada yang suka gatal-gatal tangan dan kaki, jom pakat-pakat belajar menconteng dinding dengan cara yang berhemah. InsyaAllah anda akan dapat habuan pujian dan bukannya kejian.

Ingat!
"Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali." Rasulullah SAW juga bersabda, maksudnya, “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain... dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” [Riwayat Ibnu Abi Dunya]~

Selamat Bercuti & Beraktiviti

Isnin, 15 Mac 2010 - Cuti pertengahan penggal pertama sudah pun bermula pada 13 - 21 Mac 2010. Hari ini, guru-guru Tahap 2 telah bekerjasama mengadakan kelas tambahan sebagaimana yang dijadualkan.

Guru-guru lain pula, terlibat sebagai AJK pelaksana tugasan melestarikan sekolah. Target gotong-royong pada kali ini menfokuskan aktiviti mengecat dan hiasan mural. Nampaknya meriahlah kawasan sekolah sehingga hari Khamis, 18 Mac 2010 ini. Moga SKSU tambah berseri dengan sentuhan kreativiti 'tangan-tangan ajaib'.

Selamat mengajar, selamat belajar, selamat beroperasi dan selamat maju jaya kepada warga SKSU termasuk juga guru-guru yang menyambung pengajian dalam cuti. Don't forget, manfaat dan kualitikan masa sebaiknya. Ceria-ceriakan hidup anda di musim cuti dan jumpa lagi~

Barakallah Buat Cikgu Azah!

Ahad, 14 Mac 2010 - Ikan di laut asam di darat, dalam kuali bertemu jua, hati terpaut janji diikat, akhirnya jodoh terpatri jua. Kami warga SKSU mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru' kepada Cikgu Norazah dan pasangannya.

Tahniah ya kerana telah bergelar 'Raja Sehari'. Kami juga mendoakan agar kalian berdua berbahagia dan sejahtera. Semoga rumahtangga yang dibina ini akan dipelihara Allah SWT dengan rahmah dan hidayah-Nya, ameen.

Lets raise our hands and make doa. Like the prophet thought us. And with one voice. Lets all say...
~“بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في الخير”~

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SKSU

Khamis, 11 Mac 2010 - Alhamdulillah. Sambutan Maulidur Rasul peringkat SKSU 2010 telah selamat dilangsungkan pada hari Rabu, 24 Rabiulawal 1431H bersamaan 10 Mac 2010. Tema sambutan pada tahun ini ialah "Memantapkan Ukhuwwah, Memperkasakan Ummah."

Majlis anjuran Unit Ko-kurikulum dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam/ Persatuan Agama Islam ini bermula lebih kurang pukul 3.30 petang. Ceramah khas Maulidur Rasul telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Suparman Bin Sadikan. Penutupan ceramah dimeriahkan lagi dengan gema selawat secara beramai-ramai.

Acara kemucak majlis pula diteruskan seusai solat Asar. Murid-murid Tahap 2 kelihatan segak berbaju kurung dan berbaju Melayu dalam barisan persatuan dan kelab masing-masing. Perarakan bermula dari pintu pagar belakang sekolah mengelilingi sekitar kawasan sekolah sambil berselawat menuju ke Dewan Lestari melalui pintu pagar utama SKSU.

Majlis ini diakhiri dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul dan keputusan pertandingan perarakan. Tahniah kepada adik Mohammad Asyraf Bin Mohamad (Tahun 6A) dan adik Nornadia Nabila Binti Ayob (5A). 'Two thumb up' juga kepada Johan perarakan tahun ini yang disandang oleh 'kelab muda', Kelab Doktor Muda.

Semoga dengan adanya program bulan kelahiran Rasulullah ini, warga SKSU dapat menghayati perjuangan baginda. Malahan, kualiti kehidupan keseluruhannya, bukan tamat begitu sahaja sebaik tamatnya program ini. Mudah-mudahan segala niat baik dan murni ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT~

Tahniah & Takziah

Rabu, 10 Mac 2010 - Ini adalah entry khas kepada beberapa orang guru SKSU. Barangkali belum terlewat pihak sekolah merakamkan ucapan tahniah dan takziah di sini.

Pertama sekali, tahniah kepada 'orang lama', Encik Mohd. Nor Azmi Bin Sikit di atas kenaikan pangkat sebagai Penolong Kanan Pendidikan Khas. SKSU terutamanya warga Program Pendidikan Khas Integrasi merasa kehilangan yang cukup besar.

Kini beliau telah bertugas di PPKI SK Bagan Terap, Sabak Bernam. Warga sekolah mengucapkan terima kasih kepada ustaz Azmi kerana khidmat cemerlang selama ini. Minta maaf jika ada salah dan silap dan selamat maju jaya di mana jua cikgu bertugas.

Takziah juga kepada Puan Sadah Binti Hassan, Puan Norli Binti Razali dan Puan Rohana Binti Mohamed di atas masalah kesihatan yang mereka alami. Sesungguhnya di sebalik musibah sakit itu pasti terdapat hikmah dan pelajaran bagi siapa saja yang mahu berfikir.

Kami semua mendoakan "Syafakillah syifaan ajilan, syifaan la yughadiru ba'dahu saqaman." Semoga kalian cepat sihat sejahtera~

Ujian Bulanan Pertama (MAC) 2010

Selasa, 9 Mac 2010 - Ujian bulanan yang pertama telah diadakan pada hari ini sehingga hari Jumaat, 11 Mac 2010. Diharapkan murid-murid Tahun 6 akan menjadikan setiap ujian bulanan sebagai raptai UPSR.

Semoga ujian bulanan ini berjalan dengan lancar sebagaimana dijadualkan.
Guru-guru juga sudah mula ligat menanda kertas untuk analisa bulanan subjek masing-masing. Selamat menanda. Selamat Maju Jaya kepada semua murid SK Seri Utama~

Majlis Tahlil & Bacaan Yasin Kali Kedua

Sabtu, 6 Mac 2010 - Pada tahun ini, AJK Kelab Sukan Dan Kebajikan Guru & Kakitangan SK Seri Utama (KESUMA) 2010 telah bersepakat untuk menganjurkan Majlis Tahlil dan Bacaan Surah Yasin. InsyaAllah, pihak KESUMA akan berusaha untuk mengadakan majlis ini sekurang-kurangnya sekali setiap bulan iaitu pada hari Khamis malam Jumaat.

Alhamdulillah, bulan Januari lalu, majlis 'sulung' telah berjaya dilaksanakan pada 21 Januari 2010. Kali keduanya, pada 4 Mac 2010 yang lepas. Terima kasih kepada orang perseorangan, PIBG dan semua ahli KESUMA yang turut memberi sumbangan berbentuk tunai, jamuan makan dan juga tenaga.

Semoga majlis sebegini akan berterusan dengan sokongan ahli KESUMA. Selain dapat mengimarahkan surau sekolah, malah mengeratkan lagi ukhuwwah sesama ahli~

Tambahan:

1. Pada yang ingin menyumbang, sangat dialu-alukan.

2. Hulurkan tangan, tambahkan berkat. Firman Allah SWT:


“Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman, Hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tiada jual beli dan persahabatan." [Ibrahim: 31]

Larian Lestari 2010

Khamis, 4 Mac 2010 - Pada tahun ini, larian merentas desa SKSU dikenali sebagai Larian Lestari 2010. Larian ini sangat sinonim dengan program melestarikan sekolah yang merangkumi kokurikulum, alam sekitar, keselamatan dan kesihatan.

Selain bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan tentang alam sekitar yang nyaman, bersih dan hijau. Dari sudut lain, penjagaan keselamatan diri, rakan-rakan guru dan mematuhi peraturan jalan raya juga sebagai satu acara kecergasan dan kesihatan. Bersesuaian sekali dengan misi sekolah.

Alhamdulillah, larian ini telah selesai dilaksanakan pada hari Rabu, 3 Mac 2010. Seramai hampir 300 orang murid Tahap 2 menyertai acara tersebut. Penyampaian piala pusingan telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar SK Seri Utama.

Tahniah diucapkan. Keputusan rasmi :

JOHAN : R. Merah (Mawar) / N.JOHAN : R. Kuning (Tulip) / KETIGA : R.Hijau (Kaktus) / KEEMPAT : R. Biru (Seri Pagi)

Kepada peserta yang berjaya, teruskan usaha. Anda bakal terpilih bagi mewakili sekolah untuk Kejohanan Merentas Desa MSS Daerah Sabak Bernam 2010~

Tahniah Daripada SKSU

Selasa, 2 Mac 2010 - Warga SK Seri Utama mengucapkan 'Selamat Datang' kepada Mantan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Yang Bhg. Tuan Sulaiman Bin Wak. Beliau kini telah dilantik sebagai Pengarah Pelajaran negeri Selangor berkuatkuasa 1 Februari 2010 menggantikan Dr. Haji Zahri Bin Abd. Aziz.

Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan juga di atas kenaikan pangkat Yang Bhg. Dr. Haji Zahri Bin Abd. Aziz, D.S.M., A.M.N. sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 26 Januari 2010 ini.

Pada 1 Mac 2010, warga SKSU turut berbesar hati menerima kehadiran seorang lagi guru baru, Encik Sai Bin Mahmood. Beliau kini dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Integrasi SKSU.

Selamat bertugas dan tahniah kepada kesemuanya. Semoga perlantikan baru ini akan meningkatkan lagi prestasi pendidikan di Negeri Selangor khususnya. Sekaligus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan di Malaysia amnya~

PROTIM Dan LINUS 2010

Isnin, 1 Mac 2010 - Sepanjang minggu lepas, seramai 20 orang murid Tahun 4 Dahlia dan 20 orang murid Tahun 5 Kenanga SK Seri Utama telah menjalani program pemulihan 3M (PROTIM). Cikgu Daud Dasuki dan cikgu Syazwan Yusof telah bekerjasama memastikan ujian 'tapisan' lisan dan bacaan murid-murid ini berjalan dengan lancar.

Sementara program literasi dan numerasi (LINUS) pula masih berterusan bermula 1 Februari hingga 5 Mac 2010. Cikgu yang terlibat dalam ujian saringan ini adalah cikgu Sadah, cikgu Roziah dan cikgu Nor Azah.

Seramai 72 orang murid Tahu
n 1 diwajibkan menduduki ujian saringan lisan (literasi) Bahasa Melayu dan lisan (numerasi) Matematik. Manakala ujian saringan 1 bagi literasi dan numerasi menulis akan diadakan pada hari ini sehingga hari Jumaat.

Semoga dengan adanya program-program pembangunan sebegini dapat membantu usaha mensifarkan masalah penguasaan asas membaca atau lebih dikenali dengan masalah 3M~