Ceramah Israk & Mikraj 1430H

Jumaat, 17 Julai - Alhamdulillah, pada pagi yang baraqah ini warga Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah sama-sama berhimpun di tapak perhimpunan sekolah bagi mendengar ceramah sempena majlis sambutan Israk & Mikraj. Tuan Haji Muhamad Sirat Bin Haji Mahfuf telah dijemput khas sebagai penceramah undangan pada majlis ini.

Peristiwa Israk dan Mikraj membawa banyak pengajaran khusus untuk umat Nabi Muhammad. Kesemua gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad mempunyai pengajaran dan perbandingan simbolik yang tersirat. Oleh sebab gambaran-gambaran begini seolah-olah tidak natural, maka ramailah manusia terutama yang lemah keimanannya kepada Allah, Rasul dan khabar ghaib sukar mempercayainya.
Sebaliknya orang-orang yang beriman terus percaya tanpa soalselidik kerana mereka sedar kesemua itu adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah. Apa yang Allah kehendaki terus menjadi (kun fayakun) dan tiada siapa pun boleh menghalangnya.

Kesemua kita milik Allah, masa milik Allah, tempat milik Allah, ruang milik Allah malahan apa yang terlintas di hati kita juga milik Allah. Hakikatnya kita tidak memiliki sesuatu.
Semoga kita semua termasuk dalam kategori manusia yang beriman dengan Allah dan RasulNya~


Wira Cilik SKSU

Isnin, 13 Julai 2009 - Tahniah dan syabas kepada murid Tahun 5 Cempaka, Sekolah Kebangsaan Seri Utama, Muhd. Akim Bin Yamin yang telah mewakili pasukan Selangor dalam Kejohanan Ragbi Rimau Bawah 12 Tahun Peringkat Kebangsaan 2009. Setelah berhempas pulas, akhirnya pasukan Selangor menjadi Johan dan Akim adalah salah seorang wira cilik SKSU yang menyumbang kepada kemenangan ini. Pihak MSSN berbesar hati memberi sijil penghargaan, one suit jersey dan sebatang pen kepada Muhd. Akim.
Terima kasih kepada para guru pengiring yang telah melatih wira cilik ini, para ibubapa yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang demi memberikan semangat juga dorongan kepada Wira Cilik kita. Semoga pasukan Ragbi Rimau SKSU akan terus 'mengaum' bagi mempamerkan semangat juang yang tinggi~

Minggu Kesihatan & Kecergasan

Rabu, 1 Julai 2009 - Sempena Minggu Kesihatan & Kecergasan, Unit Kesihatan Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah mengadakan ceramah dan pameran kesihatan bertempat di Dewan Lestari SK Seri Utama. Program bersama Unit Kokurikulum SK Seri Utama juga telah menjemput Pegawai Kesihatan dari Unit Kesihatan Sekolah, Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam, Dr Faridah Binti Ahmad Maulana. Selain menyampaikan ceramah berkaitan pemakanan sihat, beliau turut menyentuh berkenaan isu H1N1 Influenza A.

Pada hari tersebut, seawal pagi lagi pelbagai jenis sayur-sayuran mula dipamerkan. Pameran ini telah dilanjutkan selama dua hari berturut-turut. Antara objektif program ini adalah untut meningkatkan pengetahuan murid-murid tentang jenis sayur-sayuran dan kepentingannya untuk tubuh badan. Malahan, bertepatan dengan hasrat ke arah lestari sekolah, program seumpama ini juga dapat memberi kesedaran kepada murid-murid untuk lebih suka dan sayangkan tumbuh-tumbuhan hijau yang ada di sekeliling mereka.
Rabu, 8 Julai 2009 - Bertempat di tapak perhimpunan rasmi Sekolah Kebangsaan Seri Utama, Minggu Kesihatan & Kecergasan sekali lagi diteruskan dengan acara senamrobik pada sesi kokurikulum. Acara ini yang diadakan seawal pukul 5 petang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga sekolah. Memetik kata-kata Herophilus, "When health is absent, wisdom cannot reveal itself, art cannot manisfest, strength cannot fight, wealth becomes useless, and intelligence cannot be applied".

Pendek kata, sehebat mana murid belajar dan guru mengajar, keseimbangan serta gaya hidup sihat mesti sentiasa dipelihara dan dipulihara dalam masa yang sama. Sesungguhnya, kecemerlangan akhirat juga bertitik tolak melalui prestasi hidup yang sihat di dunia! Jom pakat sama-sama amalkan gaya hidup sihat~

PPSMI Dimansuh 2012


Sabtu, 9 Julai 2009 - PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya~ Sumber Utusan Malaysia Online

Pendaftaran Dan Pengesahan Murid Tahun Satu 2010

Khamis, 2 Julai 2009 - Sekolah Kebangsaan Seri Utama mengalu-alukan ibu bapa/penjaga untuk mendaftar dan membuat pengesahan murid Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2010. Urusan pendaftaran boleh dibuat pada hari bekerja (Isnin - Jumaat) ketika waktu pejabat antara jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Ibu bapa/penjaga boleh mendapatkan borang pendaftaran masuk sekolah di pejabat SKSU. Diingatkan juga supaya surat beranak asal murid hendaklah dikemukakan semasa membuat pendaftaran penerimaan masuk murid ke sekolah~