Sekolah Pertama Perkenal Komputer e-book

KUALA TERENGGANU 27 Mei - Langkah Terengganu memperkenalkan penggunaan buku elektronik atau e-Book di kalangan murid sekolah rendah adalah bagi mencorakkan bidang pendidikan di negeri itu mengikut arus perubahan dunia.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penggunaan e-Book akan mengubah landskap pendidikan di Terengganu dengan memberi lonjakan hebat terhadap penguasaan teknologi maklumat (IT) di peringkat awal persekolahan lagi.

Ini kerana jelasnya, definisi negara maju seperti yang digariskan oleh Kesatuan Eropah (EU) kini telah berubah iaitu bukan berdasarkan keluasan dan hasil bumi, sebaliknya mempunyai masyarakat yang inovatif, kreatif serta bermaklumat melalui penguasaan dalam IT.

''Hal ini jelas kelihatan pada dunia hari ini yang mana tiada aspek kehidupan yang tidak terlibat dengan teknologi ini.

''Memandangkan perkembangan yang sudah pasti menjadi pemangkin kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang, Terengganu memutuskan untuk memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dengan mencorakkannya mengikut arus perubahan dunia melalui penggunaan e-Book,'' ujarnya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran e-Book di Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.

Menurut Ahmad, kerajaan negeri yakin prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut membangun minda serta sahsiahnya.

Sebagai langkah pertama jelasnya, sebanyak 25,000 e-Book yang dilengkapi perisian buku-buku teks serta al-Quran, doa dan amalan solat akan diagihkan secara percuma kepada murid tahun lima bermula semalam.

Katanya, ia akan diikuti agihan kepada murid tahun empat, tiga, dua dan satu selepas ini.

''Kerajaan Terengganu akan membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun untuk menyediakan e-Book kepada semua murid sekolah rendah.

''Walaupun kosnya tinggi, kita melihat program ini sebagai satu pelaburan jangka panjang yang hasilnya nanti akan melahirkan anak-anak Terengganu yang celik komputer seawal bangku sekolah," ujarnya.

Selepas e-Book jelasnya, kerajaan Terengganu akan membangunkan komputer riba sendiri untuk diagihkan kepada pelajar sekolah menengah pula di kilang yang didirikan di Gong Badak dengan kerjasama Intel.

Tiada ulasan: