PERTANDINGAN MEWARNA DAN MELUKIS POSTER AADK

26 Julai- Agensi Anti Dadah Kebangsaan menganjurkan pertandingan mewarna dan melukis poster untuk murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2. Ianya bertujuan memberi kesedaran akan bahaya penyalah gunaan dadah yang mampu menghancurkan masa depan generasi muda.







Merai kemenangan bersama guru-guru dan pegawai dari agensi.




Ribut di Sungai Besar- 13 sekolah alami kerosakan.


25 Julai- 1 pagi. Keheningan malam mula disapu angin sepoi dan bertambah garang apabila bertukar menjadi ribut. Mata yang mula mengantuk tersentak semula. Dentuman di pintu rumah mengejutkan saya. Mengintai di pintu, ngauman kuat angin agak menakutkan saya.

Isnin pagi itu, barulah saya tahu, angin yang marah boleh membawa berbagai kerosakan. Terdengar ada mengatakan kira-kira 13 buah sekolah sekitar turut mengalami kerosakan. Rumah dan gerai di Sungai Besar turut terima nasib serupa. Teringat saya pada peristiwa tahun lepas di Melaka, ketika pasar ramadan yang mengorbankan nyawa. Mujur ribut ini berlaku di saat insan ada yang lena beradu

Peristiwa ini juga mengingatkan saya kejadian ribut yang juga pernah berlaku kira-kira tahun 2000 dan mendapat liputan akbar, di mana telah mengorbankan nyawa seorang ibu tua yang tertimbus di dalam runtuhan rumahnya. Dan beberapa artikel lain menunjukkan kejadian ribut seumpama ini sering melanda di tempat-tempat yang ada nama 'sungai'. Dari sudut geografinya saya tidak pastila pula. Adalah jawapan yang logik di sebalik semua ini.



Bumbung parkir kereta di blok belakang, tersingkap ke atas.



Keadaan bumbung di Tahun 6 yang terangkat.




Kelas Tahun 2 basah , mujurlah tiada murid ketika kejadian.







Keadaan bumbung Stadium Sungai Besar yang tewas dilanda ribut.








Tumbang....






Musnah... keadaan rumah yang ditimpa pokok dan tiang elektrik.

Kita sebagai manusia yang serba lemah memohon hikmah disebalik dugaan yang didatangkan dalam bentuk ribut ini, sama-samalah kita bermuhasabah diri, ianya juga ingatan buat kita. Ambilkan kesempatan datangnya ramadan yang mulia ini untuk memperkemas ibadah sebagai bekalan di sana nanti.

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN

Marhaban Ya Ramadhan, kita ucapkan untuk bulan suci ini kerana mengharapkan agar hati dan jiwaraga kita diasah dan diasuh, dilatih dan ditarbiyyah serta dinaiktaraf dan diiktiraf. Selamat memasuki madrasah Ramadhan ini dan semoga setelah keluar darinya segala dosa-dosa kita diampuni oleh Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik buat kita semua. Demi sesungguhnya “sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah.” Ramadhan Kariim dan selamat beribadah dengan penuh keikhlasan diucapkan buat semua umat Islam.

Hari isnin bersamaan dengan 1 Ogos 2011 semua umat Islam akan menyambut kedatangan bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu Bulan Ramadhan.

Kelebihan Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. – Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. – Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

Penerangan Hadis

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

KESUMA KEMBARA KE PULAU KAPAS, TERENGGANU





1 -3 Julai- Seramai 40 orang guru yang juga merupakan ahli KESUMA telah berkembara ke Pulau Kapas, Terengganu sebagai salah satu aktiviti 'team building' yang turut disertai guru besar, Encik Ishak Md Noor dan isteri. Guru Kanan Pentadbiran yang turut serta , Puan Rusnani Ahmad dan Encik Harun Saib.




Perjalanan yang jauh tidak begitu terasa kerana ahli masing-masing begitu teruja dan memasang angan-angan bersantai di sana nanti. Aktiviti mesyuarat Kesuma merupakan agenda pertama di sana. Diikuti pula dengan aktiviti yang membuka hati dan minda kepada keindahan alam ciptaan tuhan, yang di darat mahupun lautan. Acara bersnorkeling merupakan aktiviti melepaskan stress dan melupakan apajua kesibukan kerja. Lega dan menyamankan.. Ada yang merupakan pengalaman pertama tetapi lagak dan gaya bagai pro tak kurang juga yang sekadar menggamat suasana. Ikan nak dilihat pun cabut berenang ke destinasi lain. Selesai bersnorkeling, lapar pula terasa. Makanan laut pastinya menjadi pilihan utama menu barbekue malam itu. Tak hilang penat bersnorkeling aktiviti mencabar seterusnya menyusul. Mencandat sotong di laut lepas. Bukan calang-calang orang yang mampu menahan mabuk gelora laut, namun sekadar nak merasa dan mencuba.... rasakanlah. Walau pening bila dah mabuk... namun indah dikenang.




Hari kedua, ahli meninggalkan Chalet Makcik Gemuk, bersama pasir putih , halus dan bersih. Kembali ke tanah besar, tentunya bershopping pula jadi aktiviti kegemaran ahli wanita. Melawat ke Masjid Kristal, menikmati pemandangan sungai sambil menghirup ABC special, sungguh merehatkan minda. Shopping time!, pusat-pusat menjual keropok diserbu dan Pasar Payang memang menggilakan melihat batik-batik sutera yang berkilauan dengan batu permata. Harga tak payah tanyalah. mampu beli.




Menikmati makanan Terengganu seperti nasi dagang dan meratah daging kenyal dan rasa manis sotong menjadi kenangan terindah di sana. Ahli Kesuma akan sentiasa menyokong aktiviti yang diadakan. Pastinya membina keakraban dan silaturahim sebagai satu keluarga.