LAWATAN PENANDA ARAS DI BUMI LAGENDA, LANGKAWI
Lawatan Penanda Aras ke bumi lagenda kota Mahsuri, Langkawi tahun lepas masih segar diingatan. Ianya juga diadakan bersekali dengan kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) yang menutup tirai lembaran 2009. Walaupun hanya 2 hari namun sangat memberi makna dan tercatat sebagai satu lagi kenangan keluarga SKSU yang paling indah. Kursus dan lawatan yang disertai oleh semua guru dan kakitangan sekolah malah ada yang membawa ahli keluarga bersama seperti ini turut mengeratkan hubungan silaturahim kalangan ahli dan keluarga itu sendiri. Ikutilah sebahagian kenangan yang sempat dirakam lensa kamera sebagai wacana bukti penanda aras diri peserta lawatan.
Setibanya disana, kami disambut mesra alunan lembut angin pulau. Kepenatan dan rasa menantuk disertai perjalanan jauh semalaman terus tidak terasa lagi. Destinasi Gunung Mat Cincang dituju untuk melihat panorama pulau lagenda ini dari aras tertinggi.
Masa tidak tersia-sia. Setiap detik diisi dengan aturcara yang telah dirancang sebaik daya. Selesai sekadar meletakkan kepala di bantal empuk Twin Peak Resort, petang harmoni itu diteruskan dengan aktiviti LADAP iaitu "Free Hand Drawing" oleh Saudara Kalam Salan. Hilang rasa mengantuk apabila ada aktiviti sebegini.
Seusai solat dan makan malam, KESUMA pula mengambil peranan. Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan minit yang lepas dan pastinya agenda pelantikan ajk baru begitu dinantikan walaupun malam makin mengamit.
Dua hari pastinya tidak puas lagi menikmati keindahan dan menjelajah bumi lagenda Mahsuri ini. Kesempatan dua hari itu juga diguna sebaik mungkin setiap ahli rombongan untuk menjelajah sekali gus menjejak sejarah tinggalan Mahsuri, puteri teraniaya di bumi lagenda itu. Ada yang sudah memasang angan-angan akan kembali lagi jika berkemsepatan untuk terus menerokai tiap liuk dan pikuknya di samping begitu teruja dengan barangan bebas cukai yang berkualiti tinggi di sini. Sudah sampai masa kembali ke pangkuan keluarga yang sedang menunggu kerinduan ditinggalkan demi menjalankan tugas LADAP di Langkawi. Langkawi kami pasti datang lagi , mengenalmu sedetik itu , telah buat kami jatuh cinta pada kedamaian dan rimbun hijaumu....Nantikan kami..
SAMBUTAN ISRA' MIKRAJ 1431H
21 Julai, Rabu - Sambutan Isra' Mijraj peringkat sekolah kali ini berlainan daripada sambutan yang lepas. Ini kerana sambutan kali ini mengundang seorang wira sebgai penceramah seterusnya menceritakan pula saat cemas dan mengerikan menjadi tahanan rejim zionis, Israel. Misi Selamatkan Gaza merupakan satu jihad dan lambang persaudaraan sesama Islam yang luhur dan suci. Justeru itu pengalaman wira Saudara Halim Redzuan dikongsi bersama seluruh warga SKSU. Guru-guru dan murid-murid turut dalam menyelami pengalaman keperitan ekoran tindakan biadap zionis Israel terhadap misi kemanusiaan menghantar bekalan ubat dan keperluan lain diserang rejim ini.
Saudara Halim Redzuan merupakan sukarelawan yang menganggotai Muslim Care dan terpilih mewakili Malaysia bersama lebih 600 sukarelawan lain seluruh dunia dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Perkongsian cerita berserta tayangan video bukan sahaja menngharukan guru-guru , murid-murid juga terpaku dengan keberanian dan cabaran yang dilalui beliau sepanjang perjalanan ke Gaza. Mereka termanggu, diam dan kelu melihat penderitaan yang ditanggung oleh kanak-kanak sebaya mereka di bumi Palestin. Ribuan kanak-kanak menjadi yatim-piatu saban hari akibat keganasan Israel. Malah ramai yang mengangkat tangan sanggup turut serta berjihad fisabilillah ke bumi Gaza memberi bantuan yang boleh. Seperti kata nasihat saudara Halim, belajarlah bersungguh-sungguh agar menjadi doktor kerana doktor amat diperlukan di sana. Suntikan semangat ini diharap memberi inspirasi kepada murid-murid SK Seri Utama.
Tabung bantuan Palestin turut dilancarkan dan semua kutipan daripada guru-guru, murid-murid dan kakitanngan sekolah disalurkan terus kepada Saudara Halim agar dapat menambah dana yang ada. Walaupun jumlahnya bukanlah jutaan ringgit namun keikhlasan dan iringan doa agar saudara kita di sebelah sana terbela.
Beliau berhasrat akan mengikuti misi ini sekali lagi pada September nanti. Kami warga SKSU mendoakan wira-wira kita berjaya membawa bantuan ubatan, keperluan pendidikan dan makanan kepada saudara kita di Palestin sana. Insyaallah.
SKSU SELARAS SISTEM FAIL TERKINI
20 JULAI, SELASA - Satu taklimat pengurusan Sistem Fail telah disampaikan oleh penceramah jemputan dan yang pakar iaitu Encik Mohd Jajuli b Yahaya, Unit Kualiti Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam.
Penerangan selama hampir 2 jam itu merangkumi sistem fail unit kurikulum, panitia matapelajaran, unit HEM, dan Unit Kokurikulum. Sistem Fail yang selaras dalam bnentuk folder akan diseragamkan di sekolah ini. Ini bertujuan penambahbaikan kepada sistem fail yang ada. Banyak informasi dan cara pengurusan fail disampaikan dengan bersahaja namun berkesan dan menarik minat guru-guru.
SKSU MENUJU KECEMERLANGAN
KURSUS KEPENGADILAN BOLA JARING DAERAH SABAK BERNAM
20 JULAI, SELASA - SK Seri Utama amat berbesar hati dipilih sebagai lokasi Kursus Kepengadilan Bola Jaring Daerah Sabak Bernam selama sehari itu. Kursus anjuran Pejabat Pelajaran Daerah bersama Kementerian Belia dan Sukan,Sabak Bernam ini telah menghimpunkan seramai 50 orang guru-guru sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh Sabak Bernam untuk menerima latihan amali dan praktikal kepengadilan. Kursus ini juga telah disampaikan dengan gaya tersendiri oleh Pn Rosnah bt Minin yang juga merupakan seorang yang sangat berpengalaman dan arif dalam bidang kepengadilan ini. Sk Seri Utama pasti tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan menghantar dua orang guru bola jaring iaitu Pn Salasiah dan Pn Suhartini untuk mendapatkan ilmu kepengadilan tersebut. Diharap kursus tersebut memberi satu impak besar dan pencapaian pengurusan kepengadilan guru-guru di samping meningkatkan mutu sukan bola jaring Daerah Sabak Bernam.
MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA, MAJULAH SUKAN UNTUK SABAK BERNAM.
LAWATAN KE ZOO TAIPING - RILEKS SEKEJAP
8 Julai 2010 - Khamis, Lawatan ke SK Convent Kota, Taiping merupakan satu lawatan ilmu dn motivasi kepada 30 orang murid calon UPSR 2010. Setelah terbabit dalam aktiviti akademik sepanjang berada di sekolah tersebut, mereka dibawa berlibur seketika sebagai pengubat penat dek perjalanan jauh. Kesempatan menjejak kaki di bumi Taiping pastinya tidak lengkap tanpa mengunjungi salah satu penarik dan destinasi popularnya Zoo Taiping dan Night Safari.
Murid-murid begitu gembira dapat rileks walaupun tugasan sebenar mereka belum selesai. Bagai terlupa seketika akan tugas besar dan berat iaitu memberi kecemerlangan 5A dalam UPSR 2010, mereka terus bergembira menikmati pemandangan dan berbagai spesis haiwan yang terdapat di sana. Ini juga satu pengalaman sebenar yang boleh dijadikan bahan penulisan dan hanya perlu diolah dengan gaya bahasa yang diajar guru.
Sejam di situ memberikan mereka cerita yang boleh dibawa pulang kepada kawan-kawan dan keluarga. Tiba masanya mengucapkan selamat tinggal Taiping, SKSU kami kembali padamu.
LAWATAN PENANDA ARAS DI SRK CONVENT KOTA, TAIPING
8 Julai 2010 - SRK CONVENT KOTA, TAIPING, PERAK menjadi destinasi ilmu dan penanda aras bagi 10 orang guru dan 30 murid Tahun 6 SK Seri Utama. Lawatan yang diketuai oleh Pn Rusnani bt Ahmad dan En. Harun b Saib ini merupakan julung kalinya diadakan ke sebuah sekolah yang bertaraf Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sekolah Kluster 2010. Lawatan ini juga sebagai satu pencarian dan perkongsian ilmu dan idea kecemerlangan dari segi pentadbiran, pengurusan dan pembangunan sesebuah sekolah. Pastinya masa beberapa jam di sana diguna sebaiknya bagi mendapatkan informasi dan strategi pengurusan cemerlang yang terpamer di sekolah ini.
SBT 2010 merupakan satu anugerah berprestij yang diiterima oleh sekolah ini. Sekolah ini mempunyai budaya kerja yang tinggi , berkembang secara holistik dan berterusan dan mampu bersaing di persada antarabangsa.
Saranan Kementerian Pelajaran agar sekolah ini menjadi penyuntik inspirasi dan penanda aras kecemerlangan pendidikan kepada sekolah-sekolah lain dinegara ini. Justeru itu, usaha yang berterusan giat dilaksanakan bagi menjamin kecemerlangan sebagai sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi.
HARI TERBUKA; MENANDATANGANI KAD LAPORAN
9 JULAI , JUMAAT - Hari Terbuka SK Seri Utama kali ini disambut lebih meriah oleh ibubapa apabila ramai yang datang untuk mengetahui prestasi anak masing-masing. Kebanyakkan ibubapa mengucapkan terima kasih atas tunjuk ajar para guru malahan ada yang memberi kebenaran untuk guru-guru memperlakukan anak mereka bagai anak sendiri. Kata mereka tegurlah malah rotanlah mjika anak mereka lalai laksanakan tugas. Bagi para guru pula , ini adalah peluang untuk sama-sama berkongsi sambil mendalami sebarang masalah murid. Kejayaan anak-anak tersebut memerlukan sekolah dan ibubapa saling berkerjasama bagi memantau prestasi dan aktiviti mereka.
Tahniah dan syabas kepada yang berjaya. Yang masih belum cemerlang, tingkatkan usaha dan kerajinan, pasti boleh jika berusaha. Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan.
KEM BESTARI SOLAT SIRI 3
SOLAT TIANG AGAMA
10 JULAI, Sabtu - Kem Bestari Solat adalah satu aktiviti dan program yang dilaksanakan untuk memastikan murid-murid dapat menunaikan solat dengan betul dari segi bacaan, perbuatan, ilmu pengetahuan dan penghayatan dalam solat dan fardhu ain.
Program anjuran J-Qaf ini diharapkan dapat memberi bimbingan dan memdalami fardhu ain, amalan dan tuntutan agama yang paling asas ini diberi penekanan sempurna.
Murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 6 diberi pendedahan dan ilmiah tentang ibadat dan perlakuan solat hingga pengurusan jenazah, amali wudu' dan amali solat oleh guru-guru. Program yang mengandungi 4 siri ini telah dijalankan sebanyak 3 siri dan keberkesanannya diharapkan berterusan dan kekal menjadi amalan sebagaimana sepatutnya seorang Islam.
"anak itu ibarat kain putih, ibubapalah yang akan mencorakkanya"
"anak itu ibarat kain putih, ibubapalah yang akan mencorakkanya"
CALON 5A UPSR ;LAWATAN ILMU KE SBT, TAIPING
8 julai 2010, Khamis - Seramai 30 orang calon 5A UPSR 2010 telah di bawa dalam satu lawatan ilmu ke SRK Convent Kota, salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi yang cemerlang dalam akademik terutama pencapaian UPSR dan pengurusan sekolahnya.
Kedatangan 30 orang calan 5A bersama 10 orang guru termasuk juga 2 orang guru penolong kanan pentadbiran telah disambut mesra dan meriah oleh guru besar dan guru-guru sekolah tersebut. Keramahan dan kemesraan yang diterima membuatkan rombongan merasakan bagai ditempat sendiri. Puan Zakiah, Guru Besar SRK Convent Kota merupakan orang pertma yang menyambut salam perkenalan di pintu masuk lagi. Setibanya di sana rombongan SKSU ini dibawa ke bilik jamuan yang mempamerkan kejayaan dan kecemerlangan sekolah tersebut. Bagai memahami perjalanan jauh dan lama , ahli rombongan amat lega dapat membasah tekak apatah lagi dijamu makanan enak. Seusai menjamu selera, rombongan diiringi pula ke dewan dimana Pn Jency dan 50 orang murid-murid cemerlang Tahun 6 sedang menanti kedatangan rombongan ini. Pn Jency merupakan guru cemerlang Bahasa Inggeris, juga kaya dengan pengalaman dan tip-tip menjawab Kertas Bahasa Inggeris sudah sedia merai kedatangan 30 orang calon 5A ini.
Duduk semeja bersama murid cemerlang sekolah tersebut merupakan satu pengalaman berharga. Berkongsi idea dan teknik menulis ayat-ayat Bahasa Inggeris begitu mengujakan murid SKSU. Bagai suntukan semangat, mereka turut aktif menjawab dan berani mencuba berdiri di depan dewan dangan sekeping kad jawapan. Guru-guru juga terkejut seberani itu mereka kali ini. Mungkin inilah motivasi yang telah berjaya disemai ketika disarungkan vest tersebut. Mereka telah membuat guru-guru pengiring turut bangga dan mampu tersenyum ketika di sana.
Selesai menerima tip-tip dan teknik menjawab, rombongan dibawa melawat sekitar sekolah. Ibarat kata Pn Zakiah dalam ucapan belaiau, sekolah ini biarpun lama tetapi indah. Sekolah ini kecil sahaja kawasannya tetapi setiap inci ruang diisi dan dipenuhkan dengan informasi ilmu. Murid-murid juga sangat menjaga kebersihan agar mereka selesa belajar. Moga ini dapat memberi inspirasi kepada murid SKSU untuk memastikann keselesaan ketika belajar penting menjana minda yang cergas. Murid-murid SRK Convent Kota melambai mesra saat perpisahan dan mereka berminat untuk datang melawat ke SKSU jika ada peluang bagi mengenali SKSU sebagai Sekolah Lestari. Semoga lawatan ini membakar semangat dan cita-cita murid-murid lain untuk berusaha lebih gigih lagi kerana ada peluang lebih besar menanti mereka.
VEST MOTIVASI BUAT 30 ORANG CALON 5A UPSR
Perhimpunan Isnin kali ini diserikan dengan satu acara ringkas namun tetap memberi satu inspirasi yang bakal memberi impak besar kepada 30 orang penerima vest calon 5A UPSR 2010. Majlis yang disempurnakan oleh Guru Besar Cemerlang, En Ishak Md Noor dan barisan guru-guru penolong kanan ini di saksikan oleh lebih 600 murid lain yang turut diinspirasikan dan didorongkan untuk mencipta kehebatan akademik. Diharapkan vest yang disarungkan menjadi satu dorongan motivasi yang kuat dan mencetus kejayaan yang lebih berkualiti. Ianya bukan sekadar vest biru tua yang begitu stylo tetapi sebagai cabaran agar 30 orang calon 5A ini membuktikan usaha dan konsentrasi yang difokuskan menintakan kejayaan yang sebenarnya. Mereka akan lebih memfokus impian menjadi kenyataan, insyaallah. Dengan iringan doa semua guru-guru, dengan usaha yang jitu, ciptakan kejayaan itu untuk diri anda dan SkSU.
Kesemua 30 orang calon 5A ini akan dibawa ke Taiping dan menerima satu lagi Slot Motivasi UPSR pada 8 Julai.
MAJLIS JASAMU DIKENANG, BUDIMU DISANJUNG
02 JULAI 2010, Jumaat - Sk Seri Utama merai persaraan seorang lagi guru yang amat berpengalaman dan berdedikasi penuh iltizam pendidik, Pn Hajjah Halimah bt Hj Ahmad. Menamatkan tinta gurunya dengan tenang walaupun pemergiaan beliau ditangisi penuh syahdu anak-anak didik Kelas 2 Cempaka. Jasa dan bakti beliau yang begitu terkesan terutama di kalangan anak-anak didik kelas Bahasa Inggerisnya tidak akan luput dan dapat diganti oleh siapa pun jua.
.
Beliau dirai dalam majlis ala-ala 'fairy tales' versi 1Malaysia dengan penuh meriah agar majlis ini menjadi satu kenangan manis dan terindah buat beliau. Sambutan yang serupa ini juga merupakan satu hadiah daripada seluruh warga Sk Seri Utama agar ianya tetap dikenang selamanya
Pn Hjh Halimah bt Hj Ahmad dilahirkan pada 2 Julai 1952 di parit 7 Timur,Sungai Besar. Merupakan anak ke 5 daripada 13 adik beradik. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Tuan Hj Zainal b Karsani pada 18 Jun 1982. Beliau dikurniakan 9 orang anak.
Mula mengajar si SK Seri Utama pada tahun 1989 hingga bersara. Seorang guru Bahasa Inggeris yang berkebolehan mengajar tahfiz dan hafazan dan pernah membantu melatih peserta hingga ke peringkat kebangsaan di mana anak -anak beliau adalah pesertanya.
.
.
Waktu senggang beliau sentiasa diisi dengan aktiviti mendekatkan diri dengan Allah. Doa sentiasa mengiringi kejayaan anak-anak beliau, agar ilmu dimanfaat anak-anak didik dan sekolah terus mencipta kejayaan adalah antara doa dan harapan yang dititipkan beliau. Surau Al Ikhwan SKSU adalah tempat beliau bertafakur ketika ada waktu terluang. Diakhir perkhidmatan, beliau menitipkan harapan dan pesanan kepada warga SKSU agar menjalankan tugas mendidik anak bangsa dengan penuh dedikasi , ikhlas, cemerlang dan sebagai ibadah.
Langgan:
Catatan (Atom)