JAMUAN AIDILFITRI DAN KEMBARA RAYA SKSU


SYAWAL masih meriah dan disambut dengan gembira di sana-sini. Begitu jua suasana di SKSU yang masih meriah dengan jamuan dan rumah terbuka aidilfitri. Kesempatan bulan syawal yang mulia diambil kesempatan untuk mengadakan jamuan aidilfitri, saling mengukuh silaturahim, bermaafan dan bermesra bagai satu keluarga.



Rumah guru-guru turut jadi kunjungan anak-anak didik. Ada guru-guru menyediakan juadah istimewa dan tidak lupa duit raya. Saling bermaafan guru dan murid. Murid Tahun 6 pula begitu teruja kembara raya ke rumah guru-guru setelah menahan diri dari kemeriahan awal syawal kerana ulangkaji UPSR dan 'perintah berkurung' selesai selepas UPSR lalu.



KESUMA juga tidak ketinggalan akan mengadakan Jamuan Aidilfitri bersama semua keluarga KESUMA dan kembara raya akan bermula pada 27 September. Rumah Ustazah Samaiyah lokasi pertama dan akan berterusan hingga penghujung syawal nanti. Disamping itu badan-badan dan kelab khas sekolah turut akan mengadakan rumah terbuka antaranya Rumah terbuka Pengawas/Pustakawan dan Jamuan Aidilfitri Tahun 6.



Sama-sama kita raikan.

PERJUANGAN BELUM BERAKHIR...

Terima kasih sekalung budi dan tahniah buat semua guru-guru Tahun 6 atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan sepanjang menghadapi murid-murid Tahun 6 2010. Cabaran besar apabila murid tahun 6 tahun ini berhadapan dengan tibanya syawal di saat kemuncak UPSR. Namun kegigihan dan usaha tanpa jemu guru-guru ini harus diberikan tahniah.
Terima kasih cikgu...Semoga keputusan UPSR kali ini lebih baik dan membanggakan kita semua.

Terima kasih
Encik Ishak, Pn Faridah Pilus,Pn Rusnani, Encik Harun, Cikgu Faridah Yusuf, Cikgu Azizah,Madam Foziah, Madam Puziah, Madam Faizah, Cikgu Tumiyah,Cikgu Salasiah, Pn Anona, Ustazah Suhaibah, Cikgu Norli, Ust Sani, Ust Siraj, Cikgu Hamdan, Cikgu Ghazali, Cikgu Zaki, Cikgu Sanip, Cikgu Yazid danCikgu Hakim.

PEPERIKSAAN UPSR 2010


21 - 23 September merupakan hari yang dinantikan dan penuh debar bagi 107 murid-murid tahun 6 SKSU kerana menduduki peperiksaan tersebut mulai hari ini. Selain mereka , guru-guru turut berdebar berbaur gembira apabila hari dinanti sudah tiba. Doakan kejayaan mereka.

Jamuan Hari Raya- Cikgu Zaki


Cikgu Zaki Wahudin telah pun mengadakan jamuan Hari Raya dan telah menjemput warga sksu turut merai. Majlis seumpama ini telah menjadi acara tahunan bagi Cikgu Zaki yang terkenal dengan masakan rendang resepi keluarga yang sememangnya sedap. Walau sibuk dengan urusan anak-anak nak kembali ke IPTA, kolej malah ada yang nak menghadapi UPSR, beliau sempat juga mencuri masa dan ruang mengadakan jamuan ini. Jamuan seumpama ini menurut beliau adalah untuk menghimpun sanak saudara jauh dan dekat yang mana tak sempat dikunjungi tika hari raya. Ia menjadi penyambung silaturahim antara ahli keluarga beliau dan begitulah juga dengan sahabat handai, jiran tetangga dapat berkumpul bertemu, berbual mesra dalam majlis tersebut. Encik Ishak juga turut hadir bersama keluarga beliau.

Cikgu Zaki mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan memohon ribuan ampun maaf dari beliau seisi keluarga kepada semua yang sudi hadir dan juga kepada yang tidak berkesempatan. Didoakan agar beliau terus dilimpahkan rezeki, kesihatan, ilmu dan keluarga bahagia selama-lamanya. Maaf zahir batin dan salam lebaran.

Lepas ni siapa pula?

MAJLIS RESTU UPSR 2010


20 SEPTEMBER, Isnin - Satu Majlis ringkas telah diadakan sebagai pesanan dan penyuntik semangat yang terakhir buat pejuang UPSR 2010. Majlis kecil tapi tetap besar makna dan pengertiannya itu telah diadakan di Surau Al Ikhwan SKSU dan diserikan lagi dengan kehadiran YDP PIBG Encik Zainul Haya b Abd Latif, Guru besar Cemerlang, Encik Ishak b Md Noor, semua penolong kanan dan guru-guru Tahun 6 bagi menghalalkan dan mendoakan kejayaan mereka menghadapi UPSR esok hari selama 3 hari tersebut.

Hingga ke saat akhir beberapa kelas tetap akan diadakan dan murid diminta hadir. Pelbagai pesanan, tips, nasihat dan peringatan telah disampaikan sebagai amanat buat mereka. Usaha dan kesungguhan mereka akan dilangsaikan pada esok hari. Selain bersalaman memohon restu, calon-calon UPSR ini juga diberikan alat tulis setiap seorang. Majlis yang didahului dengan bacaan Yassin itu berakhir dengan semua calon UPSR memohon doa restu dihalalkan ilmu dan didoakan kejayaan dari seluruh warga dan tenaga pengajar di SKSU.

MAJLIS BACAAN YASIN DAN SOLAT HAJAT


Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat UPSR 2010 telah diadakan di Dewan Lestari SKSU. Guru-guru, YDP PIBG, ibubapa dan murid-murid calon UPSR turut hadir. Majlis ini adalah sebagai salah satu usaha daripada semua rancangan yang telah dirancang bagi meningkatkan prestasi UPSR 2010. Memohon keredhaan dan restu daripada Allah Taala yang maha Pemurah dan Pengasih agar kejayaan mengiringi usaha mereka.

Harapan dan doa guru-guru juga restu ibubapa turut menjadi pendorong semangat kepada semua calon UPSR yang berdepan cabaran besar ditengah kemeriahan sambutan Hari Raya. Apapun diharapkan mereka ini kuat mengharungi cabaran dan melakukan sebaik mungkin di hari peperiksaan nanti.

Seluruh wargakerja SKSU ingin mengambil kesempatan menyusun jari memohon ampun dan maaf atas apa jua keterlajuran kata, perbuatan, pernyataan dan pemikiran. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan berhati-hati tika pulang beraya ke kampung bersama bonda dan ayahanda juga sanak-saudara. Sekolah akan bermula pada 15 September, Rabu.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & PENYAMPAIAN DERMA ANAK YATIM SERTA MURID MISKIN



3 September, Jumaat - Satu majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian derma kepada kira-kira 208 orang murid yang terdiri dari murid-murid miskin, anak-anak yatim dan murid-murid Asnaf fakir dan miskin.
Sepanjang bulan Ramadan ini berbagai-bagai aktiviti keagamaan telah dijalankan bagi mengimarahkan lagi bulan ini dengan amalan yang mendatangkan pahala. Antara aktiviti seperti tazkirah Ramadan, tasmik dan tadarus al-quran. Majlis yang ceria dan diserikan alunan bacaan al-quran, nasyid dan lagu raya mensyahdukan lagi semangat raya dan pulang ke kampung halaman.

Majlis ini telah disempurnakan dan diserikan dengan kehadiran Dato' Warno b Hj Dogol yang juga telah sudi menyampaikan derma dan sumbangan derma aidilfitri kali ini.

SAMBUTAN MERDEKA KE 53 DI SKSU

1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI DI ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KE 53
30 Ogos, Isnin - Sambutan Ambang Merdeka sempena Ulangtahun Kemerdekaan telah disempurnakan dengan gemilang dan patriotik oleh YB Tuan Abdul Rahman b Bakri. Dalam ucapan pelancaran, beliau mengucapkan tahniah atas usaha dan peranan sekolah ini dapat menganjurkan satu sambutan yang meriah, gemilang dan penuh semangat. Beliau berharap agar generasi muda sekolah ini dapat memahami makna kemerdekaan dan akan menjaganya sebaik mungkin. Beliau turut mengingatkan agar guru-guru tetap tabah menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar dan tidak jemu mendidik anak bangsa agar terus menjaga maruah bangsa dan negara dan agama.


Kedatangan YB Tuan Abdul Rahman disambut oleh pasukan kompang,
skuad TKRS dan seluruh warga SKSU.
Pengisian acara pada hari itu turut disertakan dengan nyanyian dan kibaran Jalur Gemilang dengan lagu-lagu patriotik, deklamasi sajak, nasyid, pertandingan mewarna dan menulis esei. Murid-murid dan guru-guru juga kakitangan sokongan yang lain turut pertama kalinya mengenakan uniform baru sesi 2010 berwarna maroon yangmenaikkan lagi semangat merdeka pada hari tersebut. Turut hadir ialah Cif Inspektor Ilham, Pn Salmiah daripada Balai Polis Daerah yang juga merupkan bapa angkat sekolah ini. Kehadiran veteran kemerdekaan yang datang menceritakan kembali detik dan perjuangan masa lalu untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu mendapat perhatian murid-murid.

Majlis ini tetap meriah walau disambut dalam bulan Ramadan. Murid-murid juga tidak berganjak walau matahari sudah mula menyinar panas. Acara simbolik melepaskan gugusan belon ke ruang angkasa menandakan kebebasan dan kemegahan negara. Semoga sambutan seumpama ini menjadi satu acara yang dapat mengingatkan bahawa kemerdekaan ini harus dijaga dan dihargai sebaik mungkin dari sebarang anasir yang boleh mencemar kesuciannya. Konsep 1Malaysia menjana transformasi sememangnya tepat dengan situasi sekarang di mana kemakmuran negara adalah milik rakyat ini yang berbagai bangsa, agama dan kepercayaan. Selamat Menyambut Kemerdekaan negara.

MAJLIS IHYA RAMADAN DAN PELANCARAN KIBAR JALUR GEMILANG


16 Ogos, Isnin- Majlis Ihya' Ramadan dan Pelancaran Jalur Gemilang buat kesekiankalinya terus menyemarakkan semangat merdeka walaupun ianya disambut dalam bulan Ramadan . Majlis disempurnakan oleh yang berberusaha Ustaz Alham b Yusak, Penyelia Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam dengan tazkirah ramadan yang memberikan teladan perjuangan pemimpin terulung Nabi Muhammad s.a.w mempertahankan Islam ketika bulan ramadan. Seterusnya majlis pelancaran Jalur Gemilang yang berkibar di setiap penjuru dan laman sekolah sebagai tanda sokongan dan semangat jitu generasi di SKSU. Kibaran Jalur Gemilang terus menceriakan sekolah ini dan satu lagi majlis sambutan Ulangtahun Kemerdekaan ke 53 akan menyusul 30 Ogos nanti. Bersatu kita menjana transformasi negara ndan sahsiah bangsa. Salam ramadan dan salam merdeka.