SELAMAT ULANGTAHUN BUATMU..




SEMOGA ANDA SEMUA TERUS CEMERLANG DALAM KEHIDUPAN, DILIMPAHI REZEKI, BERTAMBAH KEIMANAN

LATIHAN KEBAKARAN SESI 2011 KOHORT 1




JUMAAT, 25 FEB- KRIIIIIIIIIING................................................
Bunyi loceng yang panjang dan berulang itu menandakan amaran kecemasan antaranya kebakaran.
Latihan Kebakaran ini telah mengambil masa 4 minit bagi semua murid dan guru berkumpul di tempat yang ditetapkan. Setelah selesai menyemak Buku Rekod Kedatangan, Cikgu Hamdan selaku Penyelaras Program Keselamatan telah memberi komen dan berharap agar masa boleh diperbaikki jika diadakan latihan seumpama ini di masa akan datang.

Berikut beberapa panduan keselamatan.

PANDUAN DAN LANGKAH KESELAMATAN
APABILA BERLAKU KEBAKARAN

TANDA KECEMASAN
LOCENG KECEMASAN DIBUNYIKAN BERPANJANGAN (BERTERUSAN) SELAMA BEBERAPA MINIT

LANGKAH KESELAMATAN
1. MENDENGAR ARAHAN GURU YANG BERADA DI DALAM KELAS.

2. JANGAN CEMAS. HENTIKAN SEMUA AKTIVITI.

3. SEMUA SUIS ELEKTRIK HENDAKLAH DI TUTUP BEGITU JUGA TINGKAP DAN PINTU

4. SEMUA BEG DAN BARANG-BARANG LAIN HENDAKLAH DITINGGALKAN DI BILIK DARJAH KECUALI DOMPET DUIT DAN KAD PENGENALAN DI BAWA BERSAMA KE TEMPAT BERKUMPUL.

5. BERBARIS SEGERA DI LUAR BILIK DARJAH DAN GURU MENGIRINGI MURID KE TEMPAT BERKUMPUL.

6. GURU KELAS AKAN MEMBAWA BUKU REKOD KEDATANGAN KELAS KECUALI BUKU REKOD ITU ADA DI PEJABAT. BUKU REKOD YANG BERADA DI PEJABAT AKAN DIBAWA OLEH KERANI

7. GURU AKAN MEMBERI ARAHAN SUPAYA BERJALAN DENGAN PANTAS DENGAN MENGIKUT LALUAN KECEMASAN KE TEMPAT BERKUMPUL YANG TELAH DI TETAPKAN.

8. MURID-MURID HENDAKLAH MENGIKUT LALUAN YANG PALING DEKAT DENGAN MEREKA UNTUK PERGI KETEMPAT BERKUMPUL.

9. JIKA LALUAN YANG PALING DEKAT DI DAPATI TIDAK SELAMAT, MURID-MURID BOLEHLAH MENGGUNAKAN LALUAN PILIHAN KEDUA YANG PALING HAMPIR DENGAN MEREKA.

10. JANGAN BERLARI-LARI, MENJERIT-JERIT, MEMBUAT BISING, CEMAS DAN KELAM KABUT.

11. JANGAN MASUK SEMULA KE KELAS UNTUK MENGAMBIL BARANG YANG TERTINGGAL.

12. MURID YANG BERADA DI LUAR KELAS, HENDAKLAH TERUS KE TEMPAT BERKUMPUL.

13. GURU KELAS HENDAKLAH MEMASTIKAN SEMUA MURID DI DALAM KELASNYA SAMA DENGAN JUMLAH KEDATANGAN MURID PADA HARI ITU.

14. SEMUA WARGA SEKOLAH DIWAJIBKAN BERKUMPUL DI TEMPAT YANG TELAH DI TETAPKAN BILA LOCENG KECEMASAN DIBUNYIKAN.

15. MENDENGAR ARAHAN SELANJUTNYA DARI PIHAK PENGURUSAN PROGRAM /GURU BESAR/GPK SATU/GPK HEM/PIHAK BOMBA.

by zish

HUJAN RAHMATI SG BESAR




KHAMIS,24 fEB- Hening pagi yang sibuk dengan ibubapa dan anak-anak melangkah ke sekolah seperti biasa mengejar waktu yang tepat sekali pada detiknya menjadi lebih pantas dan agak kecoh apabila hujan lebat turun membasahi bumi secara tiba-tiba. Ramai antara ibubapa dan murid-murid sekolah rendah dan menengah sedang asyik melayan kesyahduan pagi dengan hiruk pikuk kenderaan menuju destinasi masing-masing. Wangi, kemas, segak beruniform mengayun langkah ke sekolah sambil mengalas beg, tiba-tiba membuka langkah seribu apabila hujan menyimbah bumi. Demi tekad dan semangat, ramai yang hadir dalam keadaan basah kuyup. Berlarian menyelamatkan buku dan beg sekolah, biarpun seragam dah lenjun. Itulah semangat juang namanya. Di sekolah ada guru dan murid yang prihatin menyediakan payung bagi menyembut ketibaan mereka yang berlarian dalam kehujanan. Anak-anak pra-sekolah ada yang mula seronok bermain hujan. Dah basah kuyup, menggeletar kesejukan. Pantas guru-guru dan pembantu mencarikan pakaian kering agar selesa belajar hari ini. Ibubapa pun ramai yang terperangkap di sekolah selepas menghantar anak-anak. Duduk berbual-bual sambil menunggu hujan reda. Akhirnya hujan reda meninggalkan lopak -lopak air. Suasana sejuk dan nyaman. Bumi pun tersenyum.... segar dan bersyukur.............


CERAMAH KESIHATAN - DEMAM DENGGI





Pada 23 Februari yang lalu, satu ceramah kesihatan berkaitan demam Denggi telah dianjurkan oleh Unit Kesihatan SK Seri Utama. Pihak penganjur telah menjemput wakil dari Klinik Kesihatan Sungai Besar untuk menyampaikan ceramah yang berkisarkan nyamuk Aedes, tempat pembiakan, sebab dan akibat demam Denggi, dan juga cara mengelak demam Denggi.



Murid Tahap Dua telah menjadi kumpulan sasaran ceramah ini. Sesi soal jawab juga berlangsung pada petang tersebut dengan memberi peluang kepada murid-murid untuk bertanya kepada pegawai kesihatan yang hadir tentang kemusykilan terhadap Aedes dan Denggi. Diharapkan agar murid-murid dapat mengaplikasikan segala tips yang telah diberikan demi menangani pembiakan nyamuk Aedes justeru dapat mengelak risiko demam Denggi di kalangan warga SKSU.


SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2011


Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah, Persatuan Agama Islam Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah menganjurkan Pertandingan Selawat antara Kelab dan Persatuan pada Rabu, 16 Februari 2011. Kesemua kelab dan persatuan telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Pelbagai lagu dan alunan selawat telah diperdengarkan oleh semua murid Tahun 4, 5, dn 6 dengan dilengkapi pakaian serba indah. Ada juga persatuan yang mengiringi alunan selawat mereka dengan pukulan bongo dan bunyi kerincing. Persembahan yang dipertonton dan diperdengarkan pada hari itu amat hebat kesemuanya. Persembahan diadili dari segi kemerduan suara, gaya dalam persembahan, serta ketrampilan dan kreativiti.

Persatuan Sains dan Matematik telah mengungguli pertandingan dengan menggondol tempat pertama, diikuti pula oleh tempat kedua iaitu Kelab SPBT manakala Kelab ICT pula telah mendapat tempat ketiga. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan murid yang telah mengambil bahagian. Semangat yang lebih penting tentulah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dan marilah tunjukkan semangat itu dengan berselawat sebanyak mungkin. Wallahua'lam.

MAJLIS MERAIKAN PERSARAAN TUAN HAJI MAHMUD


Pada 11 Februari 2011 yang lalu, Kelab Guru dan Kakitangan SK Seri Utama (KESUMA) telah mengadakan jamuan makan tengah hari sempena meraikan Tuan Haji Mahmud yang telah bersara pada 15 Disember 2010. Majlis tersebut turut meraikan kedatangan ahli baru KESUMA yang terdiri daripada guru-guru yang baru berpindah ke sekolah ini dan guru-guru baru.


Majlis dimulakan dengan ucapan termasuk ucapan dari yang diraikan, mantan guru Pendidikan Khas KCP, Tuan Haji Mahmud. Setelah menikmati hidangan tengah hari, majlis diakhiri dengan acara penyampaian cenderamata dari pelbagai pihak seperti Unit Ko-kurikulum, Panitia Matapelajaran, warga pejabat, guru-guru Tahun 6 serta guru-guru kelas kepada beliau.




Jutaan terima kasih diucapkan kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Mahmud atas segala jasa dan bakti beliau di sekolah ini. JASAMU DIKENANG.

KEJOHAHAN MERENTAS DESA PERINGKAT DAERAH 2011



Pada 9 Februari yang lalu, telah berlangsung Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah Sabak Bernam MSSD (R) 2011 yang telah mengambil tempat di SMK Munshi Abdullah, Sabak Bernam. Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah menghantar sepasukan pelari bag mewakili sekolah ke kejohanan tersebut.

Keputusan yang agak memberangsangkan telah diperolehi. Peserta perempuan telah mendapat tempat ke-3 Kategori Perempuan Bawah 12 tahun (Berpasukan). Pencapaian individu juga tidak kurang hebatnya apabila salah seorang peserta perempuan wakil sekolah telah mendapat tempat kelima. Beberapa orang peserta dari SKSU turut terpilih mewakili Sabak Bernam pada kejohanan peringkat negeri yang akan berlangsung di Klang kelak. Tahniah diucapkan kepada para peserta!

Program Motivasi Ibu Bapa dan Penjaga Murid Tahun 5 & 6



Pada 29 Januari yang lalu, sebuah program motivasi telah diadakan anjuran Unit Bimbingan & Kaunseling Sekolah Kebangsaan Seri Utama. Kumpulan target adalah ibu bapa dan penjaga murid Tahun 5 dan 6. Ceramah motivasi telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Yusri bin Abd. Karim yang telah dijemput khas.



Turut berlangsung pada majlis berkenaan adalah acara penyampaian buku akaun kepada ibu bapa dan penjaga penerima bantuan kewangan e-Kasih dan KWAPM.

MAULIDUR RASUL




Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 ) 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

SELAMAT TAHUN BARU CINA




Sejarah Tahun Baru Cina

Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.

Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

Malam Tahun Baru Cina





Pada malam Tahun Baru , kaum keluarga sama ada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat harmoni. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya adalah tradisi turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.

Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ , yang dipercayai akan memanjangkan umur seseorang. Bagi yang tua, malam tahun baru akan dihabiskan dengan bermain ‘mah jong’ sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga. Tepat detik tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar, menandakan sambutan tahun baru bermula.



Tarian Singa memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina

Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, di samping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’. Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang.

Chap Goh Mei


Hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘ Chap Goh Mei ‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Perayaan tersebut jatuh pada malam 15 hari bulan, bulan pertama Imlek China. Hari itu juga disebut "Pesta Lampu", kerana lampu-lampu dinyalakan pada sebelah malam sebagai aktiviti utama pada hari perayaan itu.

Menikmati onde-onde dan memasang lampu-lampu merupakan dua perkara utama perayaan ini. Mengapa memasang lampu-lampu pada Hari Capgome? Pada tahun 180 Sebelum Masihi, China diperintah oleh Dinasti Han. Maharaja pada ketika itu, maharaja Liu Heng berjaya mematahkan gerakan penderhakaan. Hari itu kebetulan 15 hari bulan bulan pertama Imlek Cina. Untuk merayakan kejayaan tersebut, Liu Heng memerintahkan lampu-lampu dipasang di seluruh negara. Beraneka bentuk lampu dipasang di tepi-tepi jalan pada hari itu. Adat istiadat tersebut diamalkan sehingga kini.

Lampu-lampu tersebut biasanya diperbuat dengan kertas yang berwarna-warni, berbentuk seperti gunung, bangunan, orang, bunya, burung dan binatang. Sekarang teknologi moden yang canggih ianya diperbut dari gentian optik, laser, kawalan bunyi dan cahaya juga telah digunakan dalam pembuatan lampu-lampu warna-warni.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan.