Khamis, 11 Mac 2010 - Alhamdulillah. Sambutan Maulidur Rasul peringkat SKSU 2010 telah selamat dilangsungkan pada hari Rabu, 24 Rabiulawal 1431H bersamaan 10 Mac 2010. Tema sambutan pada tahun ini ialah "Memantapkan Ukhuwwah, Memperkasakan Ummah."
Majlis anjuran Unit Ko-kurikulum dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam/ Persatuan Agama Islam ini bermula lebih kurang pukul 3.30 petang. Ceramah khas Maulidur Rasul telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Suparman Bin Sadikan. Penutupan ceramah dimeriahkan lagi dengan gema selawat secara beramai-ramai.
Acara kemucak majlis pula diteruskan seusai solat Asar. Murid-murid Tahap 2 kelihatan segak berbaju kurung dan berbaju Melayu dalam barisan persatuan dan kelab masing-masing. Perarakan bermula dari pintu pagar belakang sekolah mengelilingi sekitar kawasan sekolah sambil berselawat menuju ke Dewan Lestari melalui pintu pagar utama SKSU.
Majlis ini diakhiri dengan penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul dan keputusan pertandingan perarakan. Tahniah kepada adik Mohammad Asyraf Bin Mohamad (Tahun 6A) dan adik Nornadia Nabila Binti Ayob (5A). 'Two thumb up' juga kepada Johan perarakan tahun ini yang disandang oleh 'kelab muda', Kelab Doktor Muda.
Semoga dengan adanya program bulan kelahiran Rasulullah ini, warga SKSU dapat menghayati perjuangan baginda. Malahan, kualiti kehidupan keseluruhannya, bukan tamat begitu sahaja sebaik tamatnya program ini. Mudah-mudahan segala niat baik dan murni ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan