PASANG PELITA VS LAMPU KELIP-KELIP

Meniti 10 malam akhir ramadan ada yang sayu mulai terasa. Meninggalkan satu bulan yang penuh berkat dan limpah kurnia. Namun disebalik itu ada juga yang memeriahkan malam-malam 10 yang akhir ini dengan memasang lampu pelita atau panjut( kata orang perak). Namun kemeriahan itu juga sudah kelihatan di mana-mana dengan kelap-kelip lampu hiasan yang berbagai saiz, warna dan corak. Memang cantik, meriah dan ceria. Ianya bukanlah tuntutan agama, sekadar merai dan memeriah suasana datangnya syawal. Bukan kanak-kanak sahaja gembira, yang dewasa turut teruja.

Pasang pelita juga dikaitkan secara ironinya dengan malam tujuh likur. Apapun ibadah tetap dipelihara dan yang duniawi ini sekadar memberi pengalaman dan tanda datang ramadan dan syawal.






Suasana di kampung-kampung juga sangat meriah. Sepanjang jalan dipasang lampu pelita atau panjut. Ada yang mengambil inisiatif mengadakan pertandingan pelita antara kampung dengan hadiah yang boleh dikongsi sekampung. Semangat bergotong-royong terserlah.Kaum wanita dah mula membuat biskut dan kuih raya. Yang sibuk dengan jahitan baju dan langsir sanggup tak tidur. Semangat rayalah katakan.




Tentunya aktiviti bersoping yang paling digemari. Dimana-mana kedai, gedung pakaian berderet ibubapa dan anak-anak. Setahun sekali, apa salahnya. Namun berjimat dan berhemah dalam berbelanja amatlah di sarankan. Apapun, teruskan persiapan raya anda. Sungai Besar menerima pengunjung yang luar biasa ramainya setiap Sabtu dan Ahad. Jalan sesak dan jam. Orang Sungai Besar tunggu ajelah hari lain kalau nak soping ye.




Selamat Hari Raya.







MALAM LAILATUL-QADAR



“Carilah dengan segala daya upaya malam lailatul qadar di malam-malam ganjil dari sepuluhan yang akhir dari bulan Ramadhan”.
Ada yang menyatakan daripada 10 malam akhir Ramadhan samada malam yang ganjil atau genap.


Sahibul-Tanbih r a. menyatakan, Lailatul-Qadar jatuh pada malam 27 Ramadhan berdasarkan jumlah huruf kalimah Lailatul-Qadar (Dalam tulisan al-Quran) iaitu jumlahnya 9 didharabkan dengan 3 (Kerana disebut 3 kali dalam asurah berkenaan) lalu dapat 27.


Mengikut Ibnu Abu Hurairah r.a., Abu al-Hassan menyatakan sejak baligh dia tidak pernah luput dapat menemui malam Lailatul-Qadar itu berdasarkan hari awal Ramadhan seperti berikut :-


· Hari Ahad dan Rabu maka Lailatul- Qadar pada malam ke 29 Ramadhan.
· Hari Isnin maka Lailatul- Qadar pada malam ke 21 Ramadhan.· Hari Selasa dan Jumaat maka Lailatul- Qadar pada malam ke 27 Ramadhan.· Hari Khamis maka Lailatul- Qadar pada malam ke 25 Ramadhan.· Hari Sabtu maka Lailatul- Qadar pada malam ke 23 Ramadhan.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. “Sesiapa menghidupkan (Beribadat sepanjang malam) malam Lailatul-Qadar dan mendirikan sembahyang dua rakaat, kemudian memohon keampunan daripada Tuhannya, maka diampunkan dia oleh Allah Taala dan di masukkan kedalam rahmatNya, kemudian disapukan dia oleh Jibril a.s. dengan dua sayapnya. Barangsiapa disapu oleh Jibril dengan sayapnya maka didalam syurgalah tempatnya…..”.


Dalam riwayat lain,“Sesiapa mendirikan sembahyang empat rakaat dengan membaca surah al-Fatihah, al-Kauthar dan al-Ikhlas tiga kali, dimudahkan menghadapi sakratul maut, dikecualikan daripada azab kubur dan dikurniakan empat tiang daripada nur tiap- tiap satunya terdiri 1000 mahligai“.


Lantas dirikanlah:-

1. Sembahyang sunat 2 rakaat, setiap kalinya dibaca surah Fatihah 1x dan surah al-Ikhlas 7x.
2. Diikuti bacaan istigfar (Astaghfirullahal azim wa atubuilaihi), zikrullah (La ilaha illallah, Allahu akbar), bertasbih (Subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar wala haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim), selawat (Allahumma sholli’ala saidina Muhammad).
3. Sembahyang sunat tahajjud.
4. Sembahyang sunat tasbih.
5. Mereka yang bertemu Lailatul-Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri dan disalami oleh para ,alaikat, hendaklah segera membaca: “Allahumma innaka ‘afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu anni waghfirli”.
Membaca surah al-Qadar 7x selepas sembahyang Isyak akan menjauhkan kita dari malapetaka. Tidak menjadi alasan wanita yang haid, walaupun uzur hendaklah memperbanyakkan:-


1. Doa.
2. Beristighfar.
3.Bertasbih.
4.Bertahmid.
5.Bertakbir
6.Bersedekah
7.Menjaga maruah dan akhlak
8.Sentiasa berada dalam keredaan suami (bagi yang berkahwin).
9.Sentiasa berada dalam keredaan ibu bapa (bagi yang tidak berkahwin).


Apabila berakhirnya bulan Ramadhan , menangislah wali-wali Allah, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala malaikat kerana berlalu pergi bulan itu. Berlalulah segala kelebihannya:


1. Bulan yang dilipatgandakan pahala dan ganjaran.
2.Bulan yang mudah Allah ampunkan taubat hamba-hambaNya.
3.Bulan yang banyak sekali diturunkan rahmat ke semesta alam dan
4.Bulan yang terdapat padanya MALAM LAILATUL-QADAR

Tatacara menyambut ‘Idul Fitri

1) Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah.
2) Pada pagi hari raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.
3) Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
4) Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat hari raya.
5) Menunaikan sembahyang sunat hari raya secara berjemaah dan mendengar khutbah raya.
6) Sunat doa mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain.
7) ‘Idul fitri adalah suatu ibadat oleh itu jangan dicemari dengan aktiviti yang boleh merosakkannya seperti berfoya-foya, berpeleseran tanpa tujuan, menonton wayang, berpasang-pasangan dengan yang bukan muhrim, bergaul bebas lelaki dan wanita bukan muhrim dan sebagainya.


Amalan Ziarah Kubur

1) Amalan berziarah boleh mengingatkan seseorang kepada asal usul kejadian dan menyedarkan bahawa setiap yang hidup pasti akan mati bila tiba masanya. Ini boleh menimbulkan sifat zuhud iaitu tidak rakus dan tamak akan harta dunia kerana harta benda itu tidak dapat dibawa mati.
2) Sunatkan berwuduk terlebih dahulu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, bagi lelaki ataupun perempuan.
3) Sunatkan memberi salam kepada ahli kubur. Perbuatan memberi salam itu afdalnya dilakukan dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi.
4) Sunat membaca Al-Quran seperti Surah Al-Ikhlas sebanyak sebelas kali atau membaca Surah Yaasiin dan pahala bacaan itu dihadiahkan kepada ahli kubur.
5) Sunat berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon ke hadrat Allah semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, keafiatan dan sebagainya. Setelah itu barulah merenjiskan air ke kubur berkenaan.
6) Sunat meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur iaitu sebagai ikutan daripada perbuatan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.
7) Haram untuk meratap ataupun memekik serta memukul pipi disebabkan oleh perasaan yang amat berdukacita di atas pemergian orang yang disayangi. Kita juga dilarang untuk bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah.
8) Makruh hukumnya jika kita duduk di atas kubur yakni bertepatan dengan kedudukan mayat di dalam kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk di sekitar atau di sekeliling kubur tersebut.
9) Haram melakukan perkara-perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan yang seumpamanya.
10) Diharuskan membawa dan menabur bunga secara sederhana dan tidak membazir. Harus menjirus kubur dengan air bunga-bungaan jika dia berupaya dan bermaksud supaya para malaikat hadir kerana malaikat sangat suka kepada bau-bauan yang harum lagi bagus.
11) Haram menyerupai orang yahudi dan nasrani yang membawa kalungan atau jambangan bunga dan meletakkannya di sisi pusara meraka.


PENUTUP

Ramadhan ibarat sebuah madrasah atau sekolah yang ditentukan oleh Allah untuk mentarbiyah, melatih dan mendidik umat Islam agar dapat melahirkan insan bertakwa yang patuh tunduk kepada suruhan dan laranganNya. Bulan yang disediakan di dalamnya pelbagai bekalan untuk diambil sebanyak mungkin oleh para hambaNya yang beriman buat bekalan perjalanan di masa hadapan. Bulan unutk menyucikan diri dari kekotoran dosa dan memperbaharui diri dengan keimanan yang lebih kental guna menghadapi pelbagai ujian yang mendatang dalam bulan-bulan seterusnya. Beruntunglah jika kita dapat menggunakan kesempatan yang bakal tiba dengan sebaik-baiknya dan rugilah mereka yang mengabaikannya.

JUADAH BERBUKA.... cuba masak sendiri

Assalamualaikum dan Selamat Berpuasa. Sempena bulan puasa ini saya ingin berkongsi kemeriahan juadah berbuka dan bersahur. Layan...cubalah ye.

Yang paling terkenal dan mesti ada tentunya.. bubur lambuk. Masak ke beli jadi pilihan


BUBUR LAMBUK





Bahan
2 cawan beras [rebuskan dalam slow cooker]
1/2 kg keledek [warna merah/jingga]...potong kecil
1 s/b lada hitam
2 cm. halia
5 ulas bawang merah
5 tangkai pucuk ubi
5 tangkai daun cekur manis
1 ikat daun paku merah
1 ikat pucuk paku hijau
5 pokok kangkong
2 tangkai dan kadok
4 tangkai daun kesom
4 tangkai daun kemangin
1 helai daun kunyit
1 cawan udang basah saiz kecil [tak der pun tak per]
2 ekor ikan kembung [bakar dan ambil isi]
air secukupnya
garam

Cara membuat
1. Semua sayuran dipotong, basuh dan toskan.
2. Tumbuk lada hitam hingga lumat, setelah itu masukkan 10 ulas bawang merah, halia dan tumbuklah lagi sehingga lumat bersama isi ikan tadi.
3. Masukkan keledek dan bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi bersama ikan yg dihancurkan kedalam bubur nasi tadi.
4. Masukkan udang dan kacau sehingga rata.
5. Bila sudah hampir untuk diangkat, masukkan sayur-sayura & garam secukupnya sambil dikacau hingga cukup rata dan sayur layu.
6. Angkat dan hidangkan.


Selamat berbuka dan mencuba.


Kalau anda ada resepi nak di kongsi, silakan ....

PUASA DAN KELELEBIHAN SOLAT TERAWIH


Pengertian Puasa


Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Syarat Wajib Puasa

•Berakal
•Akhir Baligh (Cukup umur)
•Kuat atau mampu mengerjakan puasa
Syarat Sah Puasa


•Islam
•Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
•Suci daripada haid dan nifas
•Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.
Rukun Puasa


•Berniat – Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
•Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.
Perkara Yang Membatalkan Puasa


•Makan dan minum dengan sengaja
•Muntah dengan sengaja
•Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan
•Keluar darah haid atau nifas
•Gila
•Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan. Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.
Orang Yang Diizinkan Berbuka Atau Tidak Berpuasa


•Orang yang sakit
•Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 52 batu atau 80.64 km.
•Orang tua yang sudah lemah
•Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak.
Kemudian antara kelebihan-kelebihan solat terawih ialah :

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama


•Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua


•Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga


•Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat


•Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima


•Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam


•Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh


•Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan


•Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan


•Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh


•Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas


•Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas


•Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas


•Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas


•Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.
15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas


•Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas


•Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas


•Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas


•Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas


•Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh


•Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu


•Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua


•Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga


•Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat


•Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima


•Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.
26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam


•Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh


•Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan


•Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan


•Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh


•Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar
.