MALAM LAILATUL-QADAR



“Carilah dengan segala daya upaya malam lailatul qadar di malam-malam ganjil dari sepuluhan yang akhir dari bulan Ramadhan”.
Ada yang menyatakan daripada 10 malam akhir Ramadhan samada malam yang ganjil atau genap.


Sahibul-Tanbih r a. menyatakan, Lailatul-Qadar jatuh pada malam 27 Ramadhan berdasarkan jumlah huruf kalimah Lailatul-Qadar (Dalam tulisan al-Quran) iaitu jumlahnya 9 didharabkan dengan 3 (Kerana disebut 3 kali dalam asurah berkenaan) lalu dapat 27.


Mengikut Ibnu Abu Hurairah r.a., Abu al-Hassan menyatakan sejak baligh dia tidak pernah luput dapat menemui malam Lailatul-Qadar itu berdasarkan hari awal Ramadhan seperti berikut :-


· Hari Ahad dan Rabu maka Lailatul- Qadar pada malam ke 29 Ramadhan.
· Hari Isnin maka Lailatul- Qadar pada malam ke 21 Ramadhan.· Hari Selasa dan Jumaat maka Lailatul- Qadar pada malam ke 27 Ramadhan.· Hari Khamis maka Lailatul- Qadar pada malam ke 25 Ramadhan.· Hari Sabtu maka Lailatul- Qadar pada malam ke 23 Ramadhan.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. “Sesiapa menghidupkan (Beribadat sepanjang malam) malam Lailatul-Qadar dan mendirikan sembahyang dua rakaat, kemudian memohon keampunan daripada Tuhannya, maka diampunkan dia oleh Allah Taala dan di masukkan kedalam rahmatNya, kemudian disapukan dia oleh Jibril a.s. dengan dua sayapnya. Barangsiapa disapu oleh Jibril dengan sayapnya maka didalam syurgalah tempatnya…..”.


Dalam riwayat lain,“Sesiapa mendirikan sembahyang empat rakaat dengan membaca surah al-Fatihah, al-Kauthar dan al-Ikhlas tiga kali, dimudahkan menghadapi sakratul maut, dikecualikan daripada azab kubur dan dikurniakan empat tiang daripada nur tiap- tiap satunya terdiri 1000 mahligai“.


Lantas dirikanlah:-

1. Sembahyang sunat 2 rakaat, setiap kalinya dibaca surah Fatihah 1x dan surah al-Ikhlas 7x.
2. Diikuti bacaan istigfar (Astaghfirullahal azim wa atubuilaihi), zikrullah (La ilaha illallah, Allahu akbar), bertasbih (Subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar wala haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim), selawat (Allahumma sholli’ala saidina Muhammad).
3. Sembahyang sunat tahajjud.
4. Sembahyang sunat tasbih.
5. Mereka yang bertemu Lailatul-Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri dan disalami oleh para ,alaikat, hendaklah segera membaca: “Allahumma innaka ‘afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu anni waghfirli”.
Membaca surah al-Qadar 7x selepas sembahyang Isyak akan menjauhkan kita dari malapetaka. Tidak menjadi alasan wanita yang haid, walaupun uzur hendaklah memperbanyakkan:-


1. Doa.
2. Beristighfar.
3.Bertasbih.
4.Bertahmid.
5.Bertakbir
6.Bersedekah
7.Menjaga maruah dan akhlak
8.Sentiasa berada dalam keredaan suami (bagi yang berkahwin).
9.Sentiasa berada dalam keredaan ibu bapa (bagi yang tidak berkahwin).


Apabila berakhirnya bulan Ramadhan , menangislah wali-wali Allah, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala malaikat kerana berlalu pergi bulan itu. Berlalulah segala kelebihannya:


1. Bulan yang dilipatgandakan pahala dan ganjaran.
2.Bulan yang mudah Allah ampunkan taubat hamba-hambaNya.
3.Bulan yang banyak sekali diturunkan rahmat ke semesta alam dan
4.Bulan yang terdapat padanya MALAM LAILATUL-QADAR

Tatacara menyambut ‘Idul Fitri

1) Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah.
2) Pada pagi hari raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.
3) Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
4) Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan sembahyang sunat hari raya.
5) Menunaikan sembahyang sunat hari raya secara berjemaah dan mendengar khutbah raya.
6) Sunat doa mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain.
7) ‘Idul fitri adalah suatu ibadat oleh itu jangan dicemari dengan aktiviti yang boleh merosakkannya seperti berfoya-foya, berpeleseran tanpa tujuan, menonton wayang, berpasang-pasangan dengan yang bukan muhrim, bergaul bebas lelaki dan wanita bukan muhrim dan sebagainya.


Amalan Ziarah Kubur

1) Amalan berziarah boleh mengingatkan seseorang kepada asal usul kejadian dan menyedarkan bahawa setiap yang hidup pasti akan mati bila tiba masanya. Ini boleh menimbulkan sifat zuhud iaitu tidak rakus dan tamak akan harta dunia kerana harta benda itu tidak dapat dibawa mati.
2) Sunatkan berwuduk terlebih dahulu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, bagi lelaki ataupun perempuan.
3) Sunatkan memberi salam kepada ahli kubur. Perbuatan memberi salam itu afdalnya dilakukan dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi.
4) Sunat membaca Al-Quran seperti Surah Al-Ikhlas sebanyak sebelas kali atau membaca Surah Yaasiin dan pahala bacaan itu dihadiahkan kepada ahli kubur.
5) Sunat berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon ke hadrat Allah semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, keafiatan dan sebagainya. Setelah itu barulah merenjiskan air ke kubur berkenaan.
6) Sunat meletakkan pelepah daun atau bunga yang masih hijau di atas kubur iaitu sebagai ikutan daripada perbuatan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.
7) Haram untuk meratap ataupun memekik serta memukul pipi disebabkan oleh perasaan yang amat berdukacita di atas pemergian orang yang disayangi. Kita juga dilarang untuk bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah.
8) Makruh hukumnya jika kita duduk di atas kubur yakni bertepatan dengan kedudukan mayat di dalam kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk di sekitar atau di sekeliling kubur tersebut.
9) Haram melakukan perkara-perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan yang seumpamanya.
10) Diharuskan membawa dan menabur bunga secara sederhana dan tidak membazir. Harus menjirus kubur dengan air bunga-bungaan jika dia berupaya dan bermaksud supaya para malaikat hadir kerana malaikat sangat suka kepada bau-bauan yang harum lagi bagus.
11) Haram menyerupai orang yahudi dan nasrani yang membawa kalungan atau jambangan bunga dan meletakkannya di sisi pusara meraka.


PENUTUP

Ramadhan ibarat sebuah madrasah atau sekolah yang ditentukan oleh Allah untuk mentarbiyah, melatih dan mendidik umat Islam agar dapat melahirkan insan bertakwa yang patuh tunduk kepada suruhan dan laranganNya. Bulan yang disediakan di dalamnya pelbagai bekalan untuk diambil sebanyak mungkin oleh para hambaNya yang beriman buat bekalan perjalanan di masa hadapan. Bulan unutk menyucikan diri dari kekotoran dosa dan memperbaharui diri dengan keimanan yang lebih kental guna menghadapi pelbagai ujian yang mendatang dalam bulan-bulan seterusnya. Beruntunglah jika kita dapat menggunakan kesempatan yang bakal tiba dengan sebaik-baiknya dan rugilah mereka yang mengabaikannya.

Tiada ulasan: