KEJOHANAN SUKAN SEPANJANG MAC - APRIL


Sepanjang bulan Mac sehinggalah bulan Mei, telah berlangsung pelbagai kejohanan sukan di daerah Sabak Bernam. Berikut adalah penglibatan Sekolah Kebangsaan Seri Utama dalam beberapa kejohanan sukan.

KEJOHANAN BOLA BALING MSSD 2011
Kejohanan ini telah berlangsung di SK Sungai Leman pada 22 Mac 2011 yang lalu. SK Seri Utama telah menghantar sebuah pasukan lelaki dan telah berjaya layak sehingga ke peringkat suku akhir.

KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG MSSD 2011
Sekolah kita telah menjadi tuan rumah bersama pada tahun ini. Berpadu tenaga dengan SMK Seri Bedena, kejohanan ini telah diadakan di Stadium Mini Sabak Bernam pada 28 hingga 31 Mac yang lalu. Pencapaian terbaik sekolah kita pada kejohanan kali ini adalah dalam acara lari berganti-ganti 200m Perempuan Kelas 5 di mana kita telah memperoleh pingat gangsa yang juga merupakan pingat tunggal untuk kontijen SK Seri Utama.

KEJOHANAN BOLA SEPAK MSSD 2011
Tanggal 5 hingga 7 April yang lalu, telah berlangsungnya Kejohanan Bola Sepak di SK Parit Baru dan SK Sungai Tengar. Pasukan SK Seri Utama telah memberikan saingan yang sengit sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Pasukan SK Seri Utama telah berjaya mendapat tempat keempat.

KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG MSSS 2011
Setelah selesai kejohanan peringkat daerah Sabak Bernam, Kejohanan Olahraga peringkat Negeri Selangor pula berlangsung pada 11 hingga 14 April yang lalu. Bertempat di Kuala Selangor, kontijen Sabak Bernam telah memperoleh 2 pingat gangsa dalam kejohanan tersebut.

KEJOHANAN HOKI MSSD 2011
Pada 13 April 2011, telah berlangsungnya Kejohanan Hoki di SK Seri Sekinchan. Sekolah kita telah menghantar dua pasukan yang tediri daripada pasukan lelaki dan pasukan perempuan. Masing - masing telah mendapat tempat kelima dan keempat dalam kejohanan tersebut.

KEJOHANAN BOLA JARING MSSD 2011
Kejohanan ini telah berlangsung pada 21 - 22 April 2011 bertempat di SK . Pasukan bawah 12 tahun SK Seri Utama telah berjaya memperoleh tempat ke-empat daripada 21 pasukan yang menyertai.

KEJOHANAN SEPAK TAKRAW MSSD 2011
Pada 28 April yang lalu, Kejohanan Sepak Takraw telah berlangsung di SK Simpang 4 BNO. Pasukan sekolah kita telah layak sehingga pusingan kedua sahaja dalam kejohanan ini.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua murid yang telah berlatih dengan penuh dedikasi serta kepada semua guru yang terlibat sebagai jurulatih, pengurus pasukan dan penyokong. Kalah atau menang sudah menjadi adat pertandingan dan yang lebih diutamakan adalah penglibatan aktif dalam kegiatan sukan dan ko-kurikulum. Teruskan lagi usaha dan latihan agar dapat menempa lebih banyak kejayaan manis pada tahun hadapan.
Badan sihat, minda cergas!

Tiada ulasan: