SKSU Tampil Dengan Pelekat Kenderaan 2010

Ahad, 18 April 2010 - Sejak hari Jumaat lepas, Kelab Sukan dan Kebajikan Guru & Kakitangan SKSU (KESUMA) 2010 telah berjaya mengeluarkan pelekat kenderaan khas bagi kereta dan motorsikal. Pelekat istimewa ini diwajibkan untuk guru serta kakitangan SKSU sahaja.

Harga sekeping pelekat adalah RM5.00 setiap satu. Mana-mana guru dan kakitangan yang belum memiliki pelekat berkenaan, sila berhubung terus dengan 'orang bajet' KESUMA, Puan Faizah Sanusi.

Semoga pelekat ini akan dapat memudahkan lagi urusan kawalan keselamatan untuk mengetahui aliran keluar masuk kenderaan dari luar. Dengan kata lain, supaya mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan di dalam kawasan SKSU.

Walaupun designnya tidaklah seeksotik mana, jangan ada yang malu atau 'geli' untuk mempamer pada kenderaan anda. Dapatkan segera sementara stok masih ada
. Selamat bergaya dengan sticker yang julung-julung kali dikeluarkan ini. Apa yang penting, keselamatan sekolah adalah tanggungjawab bersama~

Penilaian 'Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar'

Khamis, 15 April 2010 - Pada hari Selasa, 13 April 2010, SK Seri Utama telah menerima kunjungan panel penilai 'Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar'. Rombongan panel penilai ini tiba di perkarangan SKSU pada jam 10.00 pagi. Mereka disambut mesra dengan persembahan lagu Sekolah Lestari oleh kumpulan koir SKSU.

Seramai empat orang pegawai yang turun mewakili jabatan dan agensi masing-masing. Mereka yang hadir adalah Puan Amri Binti Ali, Penolong Pengarah Bidang Ko-Akademik, Jabatan Pelajaran Selangor. Cik Nik Noraini Azhimah Binti Nik Ab. Rahman pula mewakili Jabatan Alam Sekitar dan Tuan Mohd. Fikri dari Yayasan Warisan Alam Sekitar. Sementara, Tuan Zamhari turun buat kali kedua, iaitu pegawai yang mewakili Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam.


Alhamdulillah, penilaian peringkat pertama ini mendapat pujian yang memberangsangkan. Keseluruhannya, rombongan panel ini memberi respon yang positif. Kemungkinan besar, penilaian seterusnya akan menyusul lagi sehingga berakhirnya sesi penilaian.

Mereka merekomendasikan supaya projek-projek yang telah sedia ada seeloknya dikekalkan. Manakala projek seperti baja kompos pula perlu diusahakan dengan lebih jayanya.

Tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga SKSU yang telah berhabis daya melestraikan SKSU hingga ke tahap sekarang. Tidak lupa kepada orang perseorangan, persatuan dan agensi yang turut menyumbang idea dan menampung bajet bagi menjayakan projek lestari ini. Jasa kalian tetap dikenang~

'Kaki-kaki Kawad' SKSU Tetap Johan

Selasa, 13 April 2010 - Jurulatih Leftenan KRS, Kalam Bin Sahlan telah memahamkan pihak sekolah mengenai penyertaan pasukan sekolah dalam pertandingan kawad kaki KRS/ GO's/ NGO's peringkat daerah Sabak Bernam yang telah diadakan pada minggu lepas. Barangkali ini adalah insiden terlepas pandang yang jarang-jarang sekali dilakukan oleh pihak penganjur.

Sekalipun tidak dicanangkan secara terbuka sebagai Johan, tetapi ucapan tahniah layak diberikan kepada pasukan ini. Pasukan KRS SKSU adalah satu-satunya pasukan kawad kaki sekolah rendah yang berani menurunkan 'kaki-kaki kawad' lelaki mereka ke Dataran Kejat, SBPI.

Ini bermakna mereka selayaknya dinobatkan menang tanpa bertanding. InsyaAllah, pasukan kawad kaki SKSU akan mewakili daerah Sabak Bernam untuk bereformasi di peringkat kebangsaan.
Semoga pasukan SKSU tidak merajuk lagi. Lupakan rasa terkilan. Latihan kawad intensif perlu diteruskan dengan lebih bersemangat. Baris sedia!

Program Motivasi Kepimpinan Pengawas 2010

Ahad, 11 April 2010 - Satu lagi siri motivasi telah berjaya dikelolakan oleh Unit Bimbingan Dan Kaunseling SK Seri Utama. Program ini diadakan pada hari Sabtu, 10 April 2010. Seawal jam 7.00 pagi lagi para peserta mula berkumpul di Dewan Lestari SKSU sehingga sesi program tamat pada jam 12.00 tengahari.

Siri motivasi ini memfokuskan kepada kepimpinan pengawas. Semua peserta yang terlibat adalah terdiri daripada 70 orang pengawas disiplin dan 43 orang pengawas pusat sumber SKSU tahun 2010.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Azman Bin Ishak selaku penceramah khas yang diundang pada hari tersebut.
Hontouni arigatou gozaimashita kepada sensei-sensei yang turut hadir memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program kali ini. Jumpa lagi dalam siri seterusnya~

Majlis Tahlil Dan Bacaan Yassin Kali Ketiga

Sabtu, 10 April 2010 - Alhamdulillah, pihak KESUMA SK Seri Utama telah berjaya menganjurkan Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin kali ketiga pada hari Khamis, malam Jumaat lepas.

Majlis sebulan sekali ini turut meraikan guru berpindah, Encik Shahrol Nizam Bin Mispan yang baru ditugaskan ke SMK Seri Bedena. Tahniah kepada beliau atas lantikkan baru sebagai Guru Penyelaras Program Pendidikan Khas di sekolah tersebut. Selain itu, jamuan ini juga sebagai tanda meraikan kedatangan guru-guru baru ke SKSU.

Terima kasih kepada individu-individu yang memberikan sumbangan kewangan bagi menjayakan majlis KESUMA. Tidak lupa juga kepada para jemaah yang sentiasa sudi mengimarahkan Surau Al-Ikhwan SKSU. Semoga usaha-usaha murni seumpama ini akan mendapat keredhaan Allah Ta'ala~

Kunjungan Mentor Lestari Ke SKSU

Sabtu, 10 April 2010 - Pada hari Khamis, 8 April 2010, SK Seri Utama telah menerima kunjungan beberapa orang 'mentor lestari' SKSU. Mereka ini terdiri daripada 'orang kuat' SK Doktor Abdul Latiff, Encik Suhaimi Bin Hj Ramli, Guru Besar dan Puan Noraini Binti Dahalan, Guru Penolong Kanan HEM. Turut sama hadir adalah pegawai PPD, Sabak Bernam, Encik Zamhari dan Puan Rohani.

Kunjungan separuh hari tersebut boleh dianggap sebagai pra penilaian sebelum dinilai oleh barisan panel penilaian sebenar. Secara keseluruhannya, pelbagai kritikan dan tidak kurang pujian diberikan untuk manfaat pembangunan SKSU. Terima kasih atas kesudian semua.

Semoga segala nasihat juga sumbangan idea mereka ini dapat dijadikan sebagai garis panduan oleh warga SKSU dalam membuat penambahbaikan ke arah merealisasikan 'Sekolah Lestari, Minda Bestari'~

Pertandingan Kawad Kaki Daerah 2010

Sabtu, 10 April 2010 - Pertandingan Kawad Kaki Daerah 2010 telah dijalankan pada hari Rabu yang lepas bertempat di SBPI, Sabak Bernam. Pasukan KRS SKSU juga tidak ketinggalan menyertai pertandingan tersebut.

Walaupun tidak memenangi sebarang tempat, tahniah diucapkan. Diharapkan pasukan KRS SKSU akan lebih mantap untuk tahun-tahun mendatang. Jangan kecewa, jangan putus asa
. Komanden KRS Kalam Bin Sahlan merangkap jurulatih utama KRS, masih sudi memberi tunjuk ajar untuk pasukan ini~

Motivasi Bestari Tahun 5 & 6 SKSU

Isnin, 5 April 2010 - Minggu lepas telah berlangsung satu siri motivasi untuk menyuntik semangat murid-murid Tahun 5 dan 6. Motivasi tersebut dikendalikan oleh kaunselor jemputan khas dari Perkhidmatan Bimbingan & Motivasi Bestari (PBMB), iaitu Tuan Mohd Zaidi Bin Abdullah.

Alhamdulillah, motivasi ini berlangsung dengan baik dan mendapat kerjasama peserta. Diharapkan, siri motivasi sebegini akan menjadi 'api kecil' untuk menyemarakkan semangat juang murid-murid yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR. Salam motivasi~

Tambahan:
Jika mana-mana sekolah berhajat untuk mengadakan motivasi sebegini, anda boleh menghubungi Tuan Zaidi menerusi email rasmi beliau di zaidibestari@gmail.com atau terus di talian 012-3421117.

Tewas Tipis Di Kejohanan Bola Sepak MSSD, Sabak Bernam

Jumaat, 2 April 2010 - Kejohanan Bola Sepak MSSD, Sabak Bernam yang berlangsung di padang SK Seri Mawar sejak 30 Mac 2010 telah pun berakhir kelmarin. 'Harimau cilik' SKSU turun bersama tiga orang guru iringan, merangkap jurulatih pasukan iaitu Cikgu Shahrol, Cikgu Hafizan dan Ustaz Sani.

Tahniah kepada skuad SKSU yang telah beraksi hingga mara ke final kejohanan. Walaupun tewas tipis 1-2 di tangan pasukan SK Dr Latif, wira Bola Sepak SKSU tetap berbangga dapat pulang sebagai Naib Johan.

Diharap skuad SKSU akan lebih kebal dari segi taktikal dan fizikal untuk bangkit mengaum pada kejohanan tahun depan. Jangan serik untuk menyarung jersi kita lagi okey!~

Majlis KWAPM SKSU 2010

Khamis, 1 April 2010 - Hari ini telah berlangsung Majlis Penyampaian Sijil Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) SK Seri Utama 2010. Seawal jam 8.00 pagi lagi ibu/bapa penjaga mula membuat pendaftaran dan memenuhi Dewan Lestari SKSU.

Terima kasih daun keladi kepada YB Dato' Hj Warno Bin Hj Dogol, iaitu ADUN kawasan Sabak Bernam kerana sudi hadir menyempurnakan penyampaian sijil KWAPM pada tahun ini. Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran pegawai PPD, Tuan Nazam Azhari Bin Hj. Md. Yassin.

Tahniah kepada anak-anak SKSU yang tersenarai sebagai penerima KWAPM 2010. Semoga dengan adanya dana bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh para penjaga masing-masing. Malah memberi semangat untuk terus menuntut ilmu hingga berjaya. Selamat~