KEM BESTARI SOLAT KOHORT 1 2011 DI MASJID MAKMURIAH
07 Mei 2011, Sabtu
Kem Bestari Solat merupakan salah satu modul aktiviti yang terkandung dalam pelaksanaan program j-QAF mulai tahun 2005. Program j-QAF ini merupakan cetusan idea dan anjakan paradigma Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia. Dengan adanya program ini, matlamat kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memastikan murid– murid sekolah rendah akan mendapat pendedahan dan mempraktikkan fardhu ain secara sempurna serta dapat mendalami ilmu pengetahuan Agama Islam secara berperingkat- peringkat.
Menyedari hakikat bahawa golongan remaja merupakan aset yang paling berharga kepada negara pada masa hadapan, maka pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui guru-guru j-QAF telah mengambil langkah yang drastik bagi mendidik dan membimbing murid-murid bermula dibangku sekolah rendah lagi. Ini bertepatan dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya agar mendidik anak- anak ketika umur 7 tahun. Bak kata pepatah “melentur buluh biar dari rebungnya”. Hal ini diperkuatkan lagi melalui hadis Nabi yang bermaksud “anak-anak itu dilahirkan ibarat kain putih, maka ibu bapa yang akan mencorakkannya”.
Fundamentalnya, harapan kami melalui program ini agar murid-murid dapat menghayati dan menjiwai pengajaran yang terkandung dalam Agama Islam melalui solat dan amalan-amalan lain yang dituntut oleh Islam. Selain daripada itu,mereka akan terdidik untuk menjadi insan soleh dan solehah yang taat kepada perintah Allah, Rasul serta ibubapa dan seterusnya menjadi warganegara yang patuh dan taat kepada undang-undang negara.
Kem Bestari Solat adalah suatu aktiviti dan program yang dilaksanakan untuk memastikan murid- murid dapat menunaikan solat dengan sempurna dari segi bacaan, perbuatan, ilmu pengetahuan dan penghayatan dalam solat serta menguasai fardhu ain. Kem Bestari Solat ini diadakan sebanyak 4 kali dalam setahun. Oleh itu, dengan pelaksanaan kem ini, diharapkan murid-murid akan menguasai ilmu fardhu ain setelah mendapat pendedahan awal tentang bacaan, amali wudu’ dan amali solat dari zaman kanak-kanak lagi
Seramai 345 orang murid daripada Tahun 1 hingga 6 terlibat bagi siri 1 ini. Murid-murid Tahun 6 yang sudah menguasai kemahiran solat dengan baik dilantik sebagai rakan pembimbing kepada murid-murid lain. Ini dapat memantapkan pemahaman mereka disamping pendekatan rakan sebaya yang berkesan.
Semoga program ini akan memberi kesan kepada murid-murid dalam meningkatkan kemahiran, kesungguhan dan rasa tanggungjawab untuk melaksanakan Fardhu Ain yang diperintahkan oleh Allah SWT. Selain daripada itu, mudah-mudahan melalui pembinaan modal insan ini akan melahirkan individu yang bersahsiah terpuji, intelektual yang tinggi serta berbudaya cemerlang dan mapan sebagai aset agama dan negara mendepani cabaran masa kini khusunya globalisai. Semoga usaha dakwah yang sekecil ini akan mendapat ganjaran pahala kebaikan serta beroleh keberkatan daripada Allah SWT.
Amin Ya Rabbil Alamin…
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan