Seputar Ambang 2010

30 Disember 2009, Rabu - Mesyuarat Guru Kali Pertama disusuli Mesyuarat Unit Kurikulum, Hal Ehwal Pelajar dan Kokurikulum SK Seri Utama telah selesai diadakan selama dua hari berturut-turut. Tahniah kepada semua guru yang memberikan komitmen walau pun cuti sekolah masih berbaki. Diharapkan tugasan 2010 yang telah diagihkan akan dapat dilaksanakan sehabis baik. InsyaAllah, gerakerja bagi setiap unit bakal bermula seawal Januari ini.

Ahlan wa sahlan diucapkan kepada dua orang guru baru yang ditempatkan untuk berkhidmat di sini. Semoga kehadiran Ustaz Mohd Sani Salleh dan Puan Hayati Nasir dapat berkerjasama menyumbang ilmu dan tenaga demi kecemerlangan sekolah. SKSU juga turut kehilangan seorang guru lama yang telah banyak berjasa dengan kesungguhan dan kegigihannya. Puan Hajah Siti Azizah Karim dikhabarkan sudah pun bersara pada bulan ini. Terima kasih atas sumbangan bakti beliau sepanjang bertugas sebagai guru dan tahniah juga bagi pihak SKSU.

Diingatkan, pada hari Sabtu, 2 Januari 2010 ini pula, SKSU akan mengadakan Program Pendaftaran dan Orientasi Murid Tahun 1 bagi sesi persekolah 2010. Warga SKSU mengalu-alukan kedatangan ibu bapa juga penjaga untuk pengurusan penempatan anak-anak kalian. Pembayaran yuran dan pembelian peralatan serta buku sekolah juga boleh turut dibuat mulai sekarang.

SELAMAT PENGANTIN BARU 1431H


Sabtu, 26 Disember 2009 - Sekalung tahniah kepada cikgu SKSU yang telah menamatkan zaman bujangnya, Ustazah Siti Maimunah Binti Anuas dengan pasangan pilihan Encik Ahmad Kamal Bin Abd Rahman. Penggantin baru ini telah selamat diijab qabulkan pada petang Jumaat, 25 Disember 2009 bersamaan 8 Muharram 1431H. Saya mewakili warga SKSU mendoakan pasangan 'raja sehari' ini kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

"Barakahllahu laka wa baraka alaika wa jama'a bainakuma fi khair"
.. Semoga berkah Allah tetap untukmu, dan semoga berkah Allah tetap atasmu dan semoga Allah mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan. [Hadith diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad]


*** p/s: Mari kita lihat, selepas ini giliran siapa pula?

Perutusan Awal Tahun Sesi Persekolahan 2010

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2010 kepada semua warga pendidik serta murid-murid sekolah.

Guru-guru serta Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Izinkan saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan memulakan lembaran baru pada sesi persekolahan 2010. Kepada guru-guru, sambutlah anak-anak didik kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan minda yang terbuka dan dengan penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka dan negara.

Kepada murid-murid sekalian, ingatlah, sebagai generasi pewaris negara usaha murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di dalam bilik darjah mahupun gerak kerja di luar bilik darjah adalah satu usaha membentuk personaliti, ketrampilan diri dan jati diri sebagai anak Malaysia. Ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara akan sama-sama berasa bangga apabila murid-murid berjaya dalam pelbagai bidang yang dipelajari di sekolah.

Saya menyeru kepada semua murid rebutlah peluang dan segala kemudahan yang disediakan di sekolah untuk menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal dan menyumbang kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”. Maka sebagai murid, anda semua yang seharusnya berusaha untuk menjadi orang yang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan merupakan kenangan yang paling manis untuk diimbau kelak.

Para guru dan murid-murid sekalian,

Yang muda dikasihi, yang tua dihormati adalah satu perpatah yang perlu dipegang oleh semua guru dan murid-murid. Guru selaku suri teladan perlulah menunjukkan kasih kepada anak-anak murid mereka. Guru sabagai satu personalia seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid semasa berkomunikasi dua hala supaya ianya ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan, dan tidak hanya menjadi tulisan di atas pasir, yang hilang apabila di tiup angin.

Dalam alaf nano teknologi ini, semua pendidik perlu menyiapkan diri untuk mengemaskinikan semua fakta dan ilmu yang hendak disampaikan dalam mata pelajaran masing-masing. Gunakanlah kemudahan teknologi komunikasi maklumat untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang di sampaikan satu peristiwa yang sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan para guru juga turut memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan murid-murid.

Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979), "Berburu ke padang datar, Dapat rusa belang kaki, Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi”

Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua anak-anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada dalam setiap anak murid. Maka guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggunakan maklumat ini bagi menggilap bakat dan memperkukuhkan potensi diri murid-murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Para guru dan murid sekalian,

Dalam memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang disampaikan kepada murid-murid, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan empat perkara sebagai fokus utama dalam bidang keberhasilan utama; iaitu Perluasan Prasekolah, Literasi dan Numerasi (Linus), Sekolah Berprestasi Tinggi, dan New deals for principals. Maka semua warga pendidik perlu menyambut perubahan yang sedang berlaku ini dengan tangan terbuka dan minda yang positif (positive mind-set) bagi memastikan semua yang di rencana dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan membuahkan hasil yang menunjukkan peningkatan dalam kualiti pendidikan di negara ini. Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam pelbagai wacana dan forum serta kegiatan di pusat-pusat kegiatan guru adalah satu usaha yang berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah ilmu serta pengetahuan kerana guru bukan saja sebagai penyampai ilmu bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran positif dalam kalangan anak-anak murid. Pepatah ”jangan diberi ikan, tetapi ajarlah memancing ikan” adalah satu pepatah yang sangat hampir dengan profesion perguruan.

Para guru dan murid-murid yang saya kasihi,

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyarankan sukan perlu diperkasakan. Maka bagi mencapai hasrat tersebut para guru dan murid-murid seharusnya bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan mahupun aktiviti kokurikulum sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dan juga kecemerlangan sukan untuk negara.

Kepada murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PMR, saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tahun 1, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang-abang anda, sudah pasti pengalaman persekolahan akan menjadi satu yang menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan-kawan baru serta mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna sebagai persiapan menghadapi hari muka.

Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan”.




Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431

UPSR 2009 - SKSU Semakin Cemerlang


Khamis, 19 November 2009 - Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Tahun 2009 SK Seri Utama telah diumumkan pada kemuncak majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2009. Terdapat seramai 10 orang murid yang telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A. Sekaligus ia menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan berbanding keputusan tahun lalu. Tahniah diucapkan kepada semua calon UPSR, barisan guru-guru juga para ibu bapa yang turut sama menyumbang ke arah kejayaan yang telah dicapai ini~

Latihan Rumah Sukan SKSU


Sabtu, 10 Oktober 2009 - Latihan rumah sukan telah bermula pada 7 Oktober 2009. Pemilihan ahli jawatankuasa rumah masing-masing juga sudah dipersetujui seminggu sebelumnya. Diharap murid-murid dapat menghadiri latihan rumah sukan yang telah dijadualkan. Kepada guru-guru, semoga kita dapat bekerjasama dalam menyemai semangat kesukanan di kalangan pelajar kita.

Jemputan terbuka buat semua bekas pelajar SKSU. Kalian juga dialu-alukan untuk datang memeriahkan lagi sukan tahunan di sekolah lama anda. InsyaAllah temasya sukan ini bakal diadakan pada hari Sabtu, 24 Oktober 2009. Jom kita pakat-pakat turun padang. Menyokong empat buah Rumah Sukan yang akan berentap merebut takhta juara Sukan Tahunan SKSU 2009. Guru baru Rumah Biru melaporkan~

Nuzul Al-Quran


RAMAI pengkaji berselisih pendapat tarikh sebenar turunnya kitab suci al-Quran, namun mereka bersepakat mencatat peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Perkataan 'nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya.

Firman Allah SWT: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Al-An'am:38)

Nuzul al-Quran suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai 'kitab induk' panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Bukan setakat membaca, bahkan kita harus berusaha menyelidiki rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya.

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah Nabi SAW, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq. maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-'Alaq:1-5)

Nabi SAW banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan. Maknanya Nabi juga belajar secara berguru iaitu dengan Jibril dan umatnya juga dituntut belajar dengan berguru. Nabi Muhammad juga mengulang-ulangi bacaan al-Quran begitu juga dengan para sahabat. Nabi bersabda maksudnya: "Semulia-mulia umatku ialah orang yang menghafaz al-Quran."




Antara faedah membaca al-Quran adalah;
# Mampu mengusir bisikan syaitan terkutuk;
# Menjadi penyebab meraih keredaan Allah SWT;
# Memperoleh pahala yang banyak;
# Membahagiakan rakan seperjuangan;
# Menghapus kesalahan dan dosa;
# Menjadikan wajah (pembaca al-Quran) berseri-seri;
# Melapangkan hati dan fikiran, menjernihkan sanubari;
# Melahirkan ketenteraman dalaman antara seorang hamba dengan Allah SWT;
# Memelihara umur manusia;
# Merangsang seorang hamba untuk terus melakukan kebaikan dalam hidup yang sementara;
# Mengembali, menjernihkan hati kepada Allah untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan-Nya.

* Sumber

Wallpaper Ramadhan Dan Raya (updated)!

Assalamualaikum..
Dalam Entry saya kali ini, saya nak berkongsi sedikit dengan para pengunjung blog saya bersempena bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini, satu koleksi wallpaper sebagai penghias skrin komputer/laptop anda yang cantik sangat-sangat,saya kumpul dan satukan menjadi koleksi bersempena Ramadhan Al-Mubarak ini...untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat pengungjung /pelawat blog ini.

Downloadlah sebanyak mungkin kerana ianya FREE










Sila Klik pada gambar di atas untuk paparan yang lebih jelas.


Download Di sini



Bulan Kecergasan Peringkat SKSU

Isnin, 17 Ogos 2009 - Program Bulan Kecergasan 2009 peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah dijalankan sepanjang bulan Julai yang lepas. Ia bertujuan mewujudkan satu budaya hidup sihat di kalangan warga sekolah. Penglibatannya adalah menyeluruh dan turut melibatkan semua murid Tahap 1 dan Tahap 2 pada sesi kokurikulum setiap petang Rabu.

Objektif program ini adalah bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek. Mewujudkan interaksi dan sosialisasi sesama guru dan murid. Malah, program sebegini dapat menimbulkan kegembiraan kepada murid-murid dan guru-guru kerana dapat melakukan aktiviti riadah bersama-sama. Kejayaan penganjuran program ini telah mencapai objektif yang dihasratkan sekaligus akan menjadi pendorong dan semangat untuk merealisasikan ke arah kelestarian sekolah~
Gambar aktiviti sepanjang Bulan Kecergasan

Selayang Pandang Hari Keluarga SKSU 2009

Hari Keluarga SK Seri Utama 2009
Swiss Garden, Lumut, Perak
25 - 26 Julai 2009

Selasa, 11 Ogos 2009 - Alhamdulillah, dengan izin-Nya, program sambutan Hari Keluarga SK Seri Utama telah selamat berlangsung dua minggu lepas. Penulis mohon kemaafan di atas kelewatan mengupdate blog sekolah. Apa pun, tahniah kepada semua ahli keluarga SKSU kerana dapat menjayakan program tahun ini. InsyaAllah semoga ukhuwwah fillah sesama kita segar berpanjangan sehingga berjumpa lagi di tahun hadapan~


Ceramah Israk & Mikraj 1430H

Jumaat, 17 Julai - Alhamdulillah, pada pagi yang baraqah ini warga Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah sama-sama berhimpun di tapak perhimpunan sekolah bagi mendengar ceramah sempena majlis sambutan Israk & Mikraj. Tuan Haji Muhamad Sirat Bin Haji Mahfuf telah dijemput khas sebagai penceramah undangan pada majlis ini.

Peristiwa Israk dan Mikraj membawa banyak pengajaran khusus untuk umat Nabi Muhammad. Kesemua gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad mempunyai pengajaran dan perbandingan simbolik yang tersirat. Oleh sebab gambaran-gambaran begini seolah-olah tidak natural, maka ramailah manusia terutama yang lemah keimanannya kepada Allah, Rasul dan khabar ghaib sukar mempercayainya.
Sebaliknya orang-orang yang beriman terus percaya tanpa soalselidik kerana mereka sedar kesemua itu adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah. Apa yang Allah kehendaki terus menjadi (kun fayakun) dan tiada siapa pun boleh menghalangnya.

Kesemua kita milik Allah, masa milik Allah, tempat milik Allah, ruang milik Allah malahan apa yang terlintas di hati kita juga milik Allah. Hakikatnya kita tidak memiliki sesuatu.
Semoga kita semua termasuk dalam kategori manusia yang beriman dengan Allah dan RasulNya~


Wira Cilik SKSU

Isnin, 13 Julai 2009 - Tahniah dan syabas kepada murid Tahun 5 Cempaka, Sekolah Kebangsaan Seri Utama, Muhd. Akim Bin Yamin yang telah mewakili pasukan Selangor dalam Kejohanan Ragbi Rimau Bawah 12 Tahun Peringkat Kebangsaan 2009. Setelah berhempas pulas, akhirnya pasukan Selangor menjadi Johan dan Akim adalah salah seorang wira cilik SKSU yang menyumbang kepada kemenangan ini. Pihak MSSN berbesar hati memberi sijil penghargaan, one suit jersey dan sebatang pen kepada Muhd. Akim.
Terima kasih kepada para guru pengiring yang telah melatih wira cilik ini, para ibubapa yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang demi memberikan semangat juga dorongan kepada Wira Cilik kita. Semoga pasukan Ragbi Rimau SKSU akan terus 'mengaum' bagi mempamerkan semangat juang yang tinggi~

Minggu Kesihatan & Kecergasan

Rabu, 1 Julai 2009 - Sempena Minggu Kesihatan & Kecergasan, Unit Kesihatan Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah mengadakan ceramah dan pameran kesihatan bertempat di Dewan Lestari SK Seri Utama. Program bersama Unit Kokurikulum SK Seri Utama juga telah menjemput Pegawai Kesihatan dari Unit Kesihatan Sekolah, Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam, Dr Faridah Binti Ahmad Maulana. Selain menyampaikan ceramah berkaitan pemakanan sihat, beliau turut menyentuh berkenaan isu H1N1 Influenza A.

Pada hari tersebut, seawal pagi lagi pelbagai jenis sayur-sayuran mula dipamerkan. Pameran ini telah dilanjutkan selama dua hari berturut-turut. Antara objektif program ini adalah untut meningkatkan pengetahuan murid-murid tentang jenis sayur-sayuran dan kepentingannya untuk tubuh badan. Malahan, bertepatan dengan hasrat ke arah lestari sekolah, program seumpama ini juga dapat memberi kesedaran kepada murid-murid untuk lebih suka dan sayangkan tumbuh-tumbuhan hijau yang ada di sekeliling mereka.
Rabu, 8 Julai 2009 - Bertempat di tapak perhimpunan rasmi Sekolah Kebangsaan Seri Utama, Minggu Kesihatan & Kecergasan sekali lagi diteruskan dengan acara senamrobik pada sesi kokurikulum. Acara ini yang diadakan seawal pukul 5 petang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga sekolah. Memetik kata-kata Herophilus, "When health is absent, wisdom cannot reveal itself, art cannot manisfest, strength cannot fight, wealth becomes useless, and intelligence cannot be applied".

Pendek kata, sehebat mana murid belajar dan guru mengajar, keseimbangan serta gaya hidup sihat mesti sentiasa dipelihara dan dipulihara dalam masa yang sama. Sesungguhnya, kecemerlangan akhirat juga bertitik tolak melalui prestasi hidup yang sihat di dunia! Jom pakat sama-sama amalkan gaya hidup sihat~

PPSMI Dimansuh 2012


Sabtu, 9 Julai 2009 - PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya~ Sumber Utusan Malaysia Online

Pendaftaran Dan Pengesahan Murid Tahun Satu 2010

Khamis, 2 Julai 2009 - Sekolah Kebangsaan Seri Utama mengalu-alukan ibu bapa/penjaga untuk mendaftar dan membuat pengesahan murid Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2010. Urusan pendaftaran boleh dibuat pada hari bekerja (Isnin - Jumaat) ketika waktu pejabat antara jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Ibu bapa/penjaga boleh mendapatkan borang pendaftaran masuk sekolah di pejabat SKSU. Diingatkan juga supaya surat beranak asal murid hendaklah dikemukakan semasa membuat pendaftaran penerimaan masuk murid ke sekolah~


Report Card Day Dan Kutipan Yuran

Jumaat, 26 Jun 2009 - Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah mengadakan Report Card Day dan kutipan yuran. Bermula seawal pagi lagi, semua guru kelas bersiap sedia menerima kunjungan ibu bapa dan penjaga murid-murid SKSU. Guru-guru yang tidak memegang mana-mana kelas juga turut sama membantu dalam memastikan urusan kutipan yuran berjalan dengan lancar.
Semua ibu bapa serta penjaga diharapkan dapat memberi dorongan dan semangat supaya prestasi akademik anak-anak mereka dapat ditingkatkan pada masa akan datang. Mereka juga disarankan agar dapat menyelesaikan urusan pembayaran yuran pada hari tersebut atau selewat-lewatnya sebelum pelajar Tahun 6 menduduki peperiksaan UPSR. Ia bertujuan melicinkan pengurusan pihak sekolah juga bertepatan dengan kehendak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang menyarankan agar segala urusan berkenaan dapat diselesaikan dengan segera~

LADAP Kali Ke-3

Sabtu, 20 Jun 2009 - Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) kali ke-3 peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Utama telah berjaya dikendalikan oleh Cik Siti Maimunah. Beliau selaku penyelaras Pusat Sumber SKSU dijemput sebagai fasilitator dengan dibantu oleh Cik Noorhafizzah merangkap setiausaha. LADAP kali ini kelihatan ceria dengan Modul Keratan Akhbar yang agak santai. Peserta LADAP yang terdiri daripada guru-guru SKSU dibahagikan kepada lima buah kumpulan.
Slot ceramah yang disampaikan oleh Cik Siti Maimunah ringkas dan bersahaja. Kemudiannya surat khabar diagihkan kepada peserta. Mereka yang mewakili kumpulan Pendidikan, Agama, Ekonomi, Sukan dan juga Kesihatan bertungkus lumus menyiapkan tugasan. Ahli-ahli kumpulan berkerjasama menjalankan kerja-kerja mengelas, melabel, mengunting, menyusun dan menampal keratan akhbar untuk menghasilkan buku skrap mengikut kereativiti kumpulan masing-masing. Pusat Sumber SKSU berbesar hati menyediakan hadiah kepada pemenang. Nantikan pengumuman kumpulan terbaik bagi modul ini~

Infomasi Terkini - e-Cadang


Ruangan ini telah diwujudkan untuk tujuan mempertingkatkan perkhidmatan sekolah kebangsaan seri utama pada tahun 2009. Perkara yang dicadang akan disemak setiap hari. Harap bersama kita gunakan ruangan ini sebaiknya.


Subjek Sejarah Kembali ke Sekolah Rendah pada 2011


Pengajaran mata pelajaran Sejarah kepada murid tahun 1 dan 2 di semua sekolah rendah termasuk jenis kebangsaan dijangka bermula sepenuhnya pada 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ketika ini projek perintis mengenainya sedang dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 500 buah sekolah.

Menurutnya, pengajaran Sejarah tidak dilakukan seperti mata pelajaran lain, sebaliknya menerusi kaedah interaksi yang menyeronokkan murid-murid seperti koir dan perbahasan.

"Jika projek ini berjalan dengan baik, maka kita mungkin melaksanakan sepenuhnya pengajaran itu pada 2012," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Slogan 'UMNO Perjuangan' sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 UMNO anjuran UMNO Bahagian Batu Pahat di sini hari ini.

Mohd. Puad berkata, transformasi kurikulum itu akan membabitkan latihan kepada guru-guru agar mereka memahami kaedah mengajar mata pelajaran tersebut.

"Ini juga untuk memastikan pengajaran mereka memberikan kesan mendalam kepada murid-murid," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan membenarkan guru-guru siswazah bergerak aktif dalam politik.

Menurutnya, kajian itu turut membabitkan kumpulan penting seperti pengetua, guru besar atau pentadbir di peringkat Jabatan Pelajaran.

"Kita kena melihat perkara ini lebih terperinci agar tidak timbul masalah kerana dikhuatiri ada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya mungkin membenarkan mereka bergerak aktif tetapi tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti.

"Mereka mesti terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dan penglibatan mereka dalam parti pula perlu sentiasa dipantau," katanya.

Bagaimana Nak Imbangi Nisbah Guru Lelaki:Wanita


KLANG 26 Mei - Kekurangan guru lelaki adalah antara cabaran paling besar dihadapi Kementerian Pelajaran dan kementerian kini dalam usaha untuk mengimbangkan jurang itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pada masa ini hampir tiga perempat daripada setiap pengambilan tahunan guru-guru baru terdiri daripada wanita.

"Kebanyakan guru yang mengajar di pedalaman ialah guru lelaki. Jadi sebab itulah kita cuba imbangkan sedikit untuk dapatkan lebih ramai guru lelaki bagi memudahkan kita menghantar guru mengajar di pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Udang di sini, malam tadi.

Mohd. Puad turut mencadangkan supaya guru menandatangani akujanji bersetuju untuk mengajar di luar bandar dengan tempoh perkhidmatan mereka dinyatakan dengan jelas, umpamanya tiga tahun.

Beliau berkata, akujanji seumpama itu perlu bagi mengelakkan guru yang dihantar bertugas di luar bandar, memohon ditukarkan hanya selepas enam bulan mereka di sana.

Mohd. Puad berkata, selain itu ia juga bagi memastikan seseorang guru itu tidak berkhidmat terlalu lama di kawasan pedalaman.

"Saya sendiri menyaksikan kepayahan guru di pedalaman antaranya seorang guru wanita terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan gelombang telefon yang lebih baik untuk berhubung dengan suaminya.

"Ada juga kes seorang guru wanita dari sebuah sekolah di Marudi, Sarawak bersalin dalam bot ketika dalam perjalanan ke hospital kerana jarak antara sekolah dan hospital jauh," katanya. - BERNAMA

Adakah Sikap Guru perlu di tegur?


MARAN 24 Mei - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegur sikap segelintir guru yang menanamkan ideologi politik di kalangan pelajar di sekolah.

Tegas beliau, tindakan seumpama itu akan menimbulkan suasana tidak harmoni di sekolah.

Menurutnya, sebagai guru mereka sepatutnya mendokong aspirasi negara sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

''Pendidik perlu menjayakan semua aktiviti dan program di sekolah atas nama kepentingan pendidikan dan bukan atas kepentingan politik atau peribadi," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan Hari Guru peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran di sini semalam.

Pada majlis itu, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Abdullah Abdul Kadir dipilih sebagai Tokoh Guru Pahang 2009.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dan Pegawai Pelajaran Daerah, Rosdi Ismail.

Adnan berkata, guru bertanggungjawab membangunkan minda pelajar sejajar dengan ajaran agama, norma-norma masyarakat dan prinsip Rukun Negara.

''Guru tidak wajar membiarkan pelajar berkembang atas kebebasan sendiri atau mengikut perubahan zaman tanpa mengambil kira cabaran dan keperluan masa depan mereka," katanya

Dalam pada itu, beliau mahu guru menumpukan usaha memperkasa bahasa kebangsaan yang menjadi asas perpaduan kaum di negara ini.

''Ia selaras dengan konsep Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.

Beliau juga mahu guru menumpukan perhatian kepada masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing pada masa ini.

''Kejayaan seseorang guru juga diukur berdasarkan kemampuan mereka menangani masalah disiplin pelajar," katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran bagi menganjurkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang dirancang diadakan di Pahang tahun depan.

Beliau berharap sambutan itu dapat diadakan dengan lebih meriah kerana ia dijangka dirasmikan Perdana Menteri.

Sekolah Pertama Perkenal Komputer e-book

KUALA TERENGGANU 27 Mei - Langkah Terengganu memperkenalkan penggunaan buku elektronik atau e-Book di kalangan murid sekolah rendah adalah bagi mencorakkan bidang pendidikan di negeri itu mengikut arus perubahan dunia.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penggunaan e-Book akan mengubah landskap pendidikan di Terengganu dengan memberi lonjakan hebat terhadap penguasaan teknologi maklumat (IT) di peringkat awal persekolahan lagi.

Ini kerana jelasnya, definisi negara maju seperti yang digariskan oleh Kesatuan Eropah (EU) kini telah berubah iaitu bukan berdasarkan keluasan dan hasil bumi, sebaliknya mempunyai masyarakat yang inovatif, kreatif serta bermaklumat melalui penguasaan dalam IT.

''Hal ini jelas kelihatan pada dunia hari ini yang mana tiada aspek kehidupan yang tidak terlibat dengan teknologi ini.

''Memandangkan perkembangan yang sudah pasti menjadi pemangkin kemajuan sesebuah negara pada masa akan datang, Terengganu memutuskan untuk memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dengan mencorakkannya mengikut arus perubahan dunia melalui penggunaan e-Book,'' ujarnya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran e-Book di Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.

Menurut Ahmad, kerajaan negeri yakin prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut membangun minda serta sahsiahnya.

Sebagai langkah pertama jelasnya, sebanyak 25,000 e-Book yang dilengkapi perisian buku-buku teks serta al-Quran, doa dan amalan solat akan diagihkan secara percuma kepada murid tahun lima bermula semalam.

Katanya, ia akan diikuti agihan kepada murid tahun empat, tiga, dua dan satu selepas ini.

''Kerajaan Terengganu akan membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun untuk menyediakan e-Book kepada semua murid sekolah rendah.

''Walaupun kosnya tinggi, kita melihat program ini sebagai satu pelaburan jangka panjang yang hasilnya nanti akan melahirkan anak-anak Terengganu yang celik komputer seawal bangku sekolah," ujarnya.

Selepas e-Book jelasnya, kerajaan Terengganu akan membangunkan komputer riba sendiri untuk diagihkan kepada pelajar sekolah menengah pula di kilang yang didirikan di Gong Badak dengan kerjasama Intel.

KELAS SBT MASA CUTI SEKOLAH

Kelas SBT (Skim Bantuan Tuisyen) akan diadakan sepanjang minggu pertama pada cuti pertengahan penggal pertama (Sabtu 1hb. Jun - Sabtu 6hb. Jun) Masa : 7.40 pg. - 12.30 tgh. Kehadiran bagi murid-murid SBT adalah WAJIB. Kepada semua ibubapa/penjaga murid diminta untuk memastikan anak-anak/anak jagaan tuan/puan hadir pada hari-hari dan masa yang telah ditetapkan. Kerjasama daripada tuan/puan amat kami harapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih.